Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim  mengesahkan beliau hadir ke perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi tadi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ahli Parlimen Baling itu berkata, beliau sekadar hadir ke perjumpaan itu sahaja dan tidak ada sebarang arahan menandatangani apa-apa surat sokongan.

“Hari ini tular satu isu mendakwa saya selaku Ahli Parlimen Baling telah hadir dalam perjumpaan dengan Ismail Sabri yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen Kerajaan.

“Pelbagai dakwaan negatif berlegar di media sosial yang mengatakan saya telah mengkhianati arahan MKT UMNO.

“Saya ingin jelaskan, sebagai ahli parti yang bertanding atas nama UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mungkin ianya (dakwaan itu) benar,” katanya pada sidang media khas bagi menjawab isu kehadirannya pada perjumpaan bersama Ahli Parlimen UMNO dan BN di ibu kota hari ini.

Pagi tadi, seramai 31 Ahli-ahli Parlimen BN mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ismail Sabri, seramai 21 Ahli Parlimen yang hadir menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa kerajaan PN harus diteruskan sehingga satu usul undi percaya terhadap Muhyiddin dibuat pada September depan.

Menurut Abdul Azeez, tandatangan beliau yang tular di media sosial itu adalah sebagai tanda kehadirannya ke perjumpaan berkenaan, bukan menyokong mana-mana pihak.

“Saya nak maklumkan tandatangan yang tular itu adalah tandatangan sebagai kehadiran saya bagi perjumpaan itu. Itu sahaja. Tidak ada apa-apa surat yang lain untuk diarahkan kami menandatanganinya.

“Saya hadir selaku Ahli Parlimen untuk mendengar perbincangan daripada Timbalan Perdana Menteri, yang mana ianya sama dengan pendirian saya dan parti, iaitu saya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, insha-Allah, saya akan laksanakan tanggungjawab saya di Parlimen nanti bila dipanggil untuk mengabsahkan kedudukan kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berharap rakyat dalam Parlimen Baling tidak terkeliru dengan dakwaan dan dakyah yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab itu, yang hendak melagakan perjumpaannya dengan Ismail Sabri.

Buat masa ini, kata Abdul Azeez, beliau ingin memberi tumpuan khas kepada rakyat Baling dalam usaha menangani pandemik Covid-19 yang sedang berlaku sehingga Parlimen dipanggil untuk bersidang. – MalaysiaGazette