Orang awam yang disyaki positif Covid-19 hadir bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 JULAI 2021.

KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak menolak kemungkinan peningkatan kes harian Covid-19 di Selangor khususnya di sini berpunca daripada tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencampurkan data warga tempatan dengan warga asing.

Ahli Majlis MPK Zon Sementa, Megat Sharifuddin Shaharuddin berkata, keadaan itu menyebabkan rakyat Selangor menjadi mangsa keadaan hingga terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbulan-bulan lamanya, sedangkan penularan tinggi di penempatan dan tempat kerja warga asing terus beroperasi.

“MPK mengesahkan perkara tersebut daripada data KKM sendiri, cuma kita agak ragu-ragu dan tertanya-tanya dengan angka sebenar warga asing yang berada di dalam data harian kita ini.

“Baru-baru ini kita telah melihat kenyataan daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengatakan bahawa antara punca kluster terbesar dan paling utama di Selangor ini adalah industri atau kilang.

“Saya amat percaya dalam mana-mana industri perkilangan, mereka menggunakan khidmat buruh ini dalam kalangan warga asing,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Dalam pada itu, Megat juga merasakan keadaan itu membebankan rakyat tempatan yang terpaksa berkurung di rumah kerana kegagalan sektor perkilangan mengekang penularan Covid-19 di premis-premis perniagaan mereka.

“Sebelum Selangor dikenakan PKPD, kita ada PKPD CLQ Johan Setia iaitu asrama atau tempat tinggal bagi pekerja-pekerja di tapak projek Transit Aliran Ringan (LRT) Fasa 3.

“Kita amat yakin bahawa ada jumlah warga asing di situ dan keseluruhan kes harian hampir mencecah 100 kes direkodkan sepanjang tempoh PKPD.

“Dalam keadaan PKP sekarang ini, ramai rakyat kita warga tempatan sangat terjejas pendapatan dan sebagainya.

“Sangat tidak adil untuk kita buatkan satu data yang bercampur dan kita umumkan sebagai sproradik,” katanya.

Katanya lagi, sudah sampai masanya KKM menghasilkan data harian Covid-19 berasingan daripada warga asing, bagi membolehkan pelaksanaan PKPD dibuat mengikut lokaliti yang dikenal pasti mempunyai penularan tinggi wabak itu.

“Saya merasakan bahawa KKM wajar untuk membuat satu data yang dicerakinkan antara warga tempatan dan warga asing.

“Kita perlu narrow down dan cerakinkan data ini supaya kita dapat memberikan pandangan serta cadangan kepada KKM melalui kawasan, PBT dan sebagainya bagaimana cara untuk kita dapat bantu merealisasikan Pelan Pemulihan Negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette