KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini digesa menjadikan semangat juang tinggi pemimpin-pemimpin terdahulu dan nenek moyang dalam menuntut kemerdekaan negara sebagai inspirasi dalam menangani Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjuangan mereka perlu dijadikan iktibar bagi memastikan negara bebas daripada pandemik ini.
“Kali ini, kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya. Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak Covid-19 ini,” kata Muhyiddin ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021, secara maya hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terenganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Biarpun masih berada dalam tempoh yang agak mencabar susulan wabak Covid-19, namun Muhyiddin berkata, semangat patriotik tidak harus dilupakan.
Tambah Muhyiddin lagi, rakyat diharap terus kekal bersemangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang walaupun negara dilanda pandemik.
“Saya sedar bahawa kita masih berada dalam tempoh yang agak mencabar susulan wabak Covid-19.
“Namun saya yakin bahawa saudara dan saudari mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi, dan dapat mengambil iktibar dan aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini yang menyaksikan negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya lagi.
Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini menurut Muhyiddin masih lagi mengekalkan tema yang sama seperti tahun sebelum ini iaitu Malaysia Prihatin.
Jelas Muhyiddin lagi, tema ini adalah selaras seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan Kerajaan Perikatan Nasional dalam menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut berkata, semangat perjuangan menentang penjajah demi kemerdekaan tanah air pada masa dahulu perlu ditetapkan dalam mendepani penularan wabak Covid-19.
Menurut beliau, usaha dalam menangani penularan Covid-19 tidak akan tercapai sekiranya tugas memerangi hanya dilakukan oleh petugas barisan hadapan dan kerajaan semata-mata.
“Prinsip perjuangan yang sama perlu kita lakukan untuk keluar dan mereka daripada dugaan pandemik Covid-19 yang sedang kita hadapi.
“Tugas ini memerlukan kita mengambil semnagat yang pernah dipuluk di zaman pembentukan negara kita ketika membebaskan diri daripada penjajah.
“Bagi rakyat Terengganu, semangat Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh tersemat erat dalam diri, malah perjuangan kedua-dua tokoh ini bersama tokoh-tokoh yang lain, menjadi penguat semangat kami untuk melawan segala cabaran, termasuk Covid-19 yang kini menjadi ancaman bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan seluruh dunia,” kata tuan rumah Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini. – MalaysiaGazette