punca kerugian apabila pintu sempadan negeri dan negara ditutup bagi mengekang penularan pandemik.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Sektor pelancongan negara ini terjejas sejak Mac tahun lalu sejak bermula Covid-19 di seluruh negara sehingga mengakibatkan industri tersebut kerugian sebanyak RM45 bilion.

Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abdul Ghapar berkata, punca kerugian apabila pintu sempadan negeri dan negara ditutup bagi mengekang penularan pandemik.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu yang menyekat penerimaan pelancong.

Sungguh pun demikan, menurut Ammar, pihaknya giat mengadakan promosi kepada negara-negara luar bagi mengekalkan nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

“Kita berharap pemain industri dalam negara sentiasa bersiap sedia apabila pintu negara sedia untuk dibuka. Dengan apa yang melanda negara sekarang industri pelancongan adalah antara industri yang terkesan.

“Setakat ini, kita kerugian dalam 45 billion dari segi pendapatan, sebab itu kita perlu sentiasa bersedia untuk menerima semula pelancong pelancong apabila keadaan semakin pulih.

“Angka itu dalam tempoh berapa sejak tahun lalu hingga sekaranglah, bulan Mac tahun lepas masa bermulanya total lockdown,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, menurut Ammar, pelbagai usaha pemulihan industri pelancongan yang dirancang seperti program gelembung pelancongan yang dilihat mampu menghidupkan industri ketika negara sedang menuju Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

“Di Pahang, Pulau Tioman dan Bukit Fraser antara lokasi pelancongan yang akan dibuka terlebih dahulu kerana penduduk di dua lokasi terbabit sudah mencapai imuniti kelompok.

“Kemudian beberapa destinasi pelancongan lain seperti Taman Negara, Cameron Highland, Genting Highlands dan Taman Negeri Rompin serta Janda Baik menyusul setelah mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast