KUANTAN – Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan didenda RM700,000 setelah mengaku bersalah mengemukakan dokumen tuntutan palsu di Mahkamah Seksyen 2 Kuantan, di sini, hari ini.

Lee Teh Hok, 66, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bera pada April 2014.

Beliau dituduh mengemukakan dokumen tuntutan palsu bagi projek naik taraf dan kerja tanah Jalan FT1510 Seksyen 1-18 Daerah Bera yang bernilai RM17.8 juta.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dikenakan denda antara RM500,000 hingga RM1 juta kepada hakim.

Bagaimana peguam, Lim Kon Keen meminta budi bicara mahkamah dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang dilakukan Teh Hok serta kerjasama baik yang diberikan tertuduh sepanjang siasatan dilakukan.

Kon Keen mengemukan alasan bahawa anak guamnya yang telah bersara sejak tiga tahun memerlukan rawatan secara berterusan kerana menghidap penyakit seperti kencing manis serta darah tinggi.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan tertuduh dikenakan denda RM700,000 atau dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast