KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 1.4 peratus pada bulan Jun 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan IPP ini disokong oleh pengembangan 10.3 peratus dalam indeks perlombongan.
Sementara itu, indeks pembuatan dan elektrik masing-masing menyusut 0.2 peratus dan 4.8 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun menurun 0.2 peratus
pada bulan Jun 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 29.8 peratus pada bulan Mei 2021.
Subsektor yang menjadi penyumbang utama kepada sektor pembuatan pada Jun 2021 adalah produk petroleum, kimia, getah & plastik (19.0%), produk peralatan elektrik & elektronik (8.4%) dan produk tekstil, pakaian, kulit & kasut (-14.5%).
Industri berorientasikan eksport memacu kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 8.7 peratus manakala industri berorientasikan domestik menyusut 20.8 peratus.
Output sektor perlombongan tumbuh 10.3 peratus pada bulan Jun 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, kenaikan tersebut disebabkan oleh peningkatan dalam indeks gas asli (13.4%) dan indeks minyak mentah & kondensat (6.3%).
Output sektor elektrik merosot 4.8 peratus pada bulan Jun 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
IPP bagi suku tahun kedua 2021 melonjak 22.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini dipacu oleh indeks pembuatan, perlombongan dan elektrik dengan masing-masing mencatatkan kenaikan 26.3 peratus, 15.1 peratus dan 8.6 peratus.
Bagi tempoh separuh tahun pertama 2021, IPP merekodkan pengembangan 12.4 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut dipengaruhi oleh kenaikan dalam kesemua komponen; indeks pembuatan (15.7%), indeks perlombongan (4.5%) dan indeks elektrik (4.0%). – MalaysiaGazette