Antara ahli keluarga yang bersedih semasa melihat pengkebumian jenazah pesakit Covid-19 yang akan dikebumikan sekali gus ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2021.

PANDEMIK Covid-19 telah melanda negara selama lebih dua tahun. Saban hari, ada sahaja berita kematian yang didengari, bahkan kian meningkat. Dahulu, kematian adalah dalam kalangan warga emas. Namun kini, kita semakin giat mendengar kes kematian dalam golongan yang lebih muda, dan kebanyakannya mempunyai anak yang masih kecil.

Ada yang masih ditakdirkan mempunyai salah seorang ibu atau bapa, ada yang kehilangan kedua-duanya. Bagaimanakah nasib mereka? Kita tidak dapat menolak takdir. Kematian yang datang itu pasti, walau betapa gigihnya kita mencuba untuk mengelak. Namun sebagai ahli masyarakat, kita kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

Ujian bukan sahaja diturunkan kepada anak-anak ini dan keluarga mereka yang lain, bahkan apa yang berlaku sekarang adalah ujian buat kita semua. Apakah yang harus kita lakukan? Sebagai ahli masyarakat, kita haruslah prihatin terhadap keadaan ini. Sekiranya mereka mempunyai ahli keluarga yang lain pun, masing-masing mungkin mempunyai keluarga sendiri yang perlu diberi makan pakai.

Baik ditinggalkan dalam keadaan berharta mahupun tidak, kebajikan anak-anak ini perlu diutamakan. Sekiranya ada salah seorang ibu ataupun bapa, urusan harta pusaka masih perlu diselesaikan dan keadaan ini akan sedikit sukar sekiranya tiada wasiat yang ditinggalkan.

Kematian disebabkan Covid-19 biasanya akan diuruskan oleh pihak hospital dan Jabatan
Agama Islam di negeri tersebut. Terdapat beberapa agensi yang menyediakan khairat
kematian bagi tujuan ini seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara yang menguruskan
Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19.

Langkah ini merupakan salah satu daripada usaha meringankan bebanan waris setelah kematian disebabkan Covid-19. Walau bagaimanapun, sekiranya yang ditinggalkan merupakan anak-anak yang kecil dan di bawah umur, menjadi tanggungjawab waris yang lain untuk menguruskan perkara sebegini bagi pihak mereka.

Sebagai jiran dan ahli masyarakat yang prihatin, kita mestilah mengambil tahu kebajikan
anak-anak yang ditinggalkan. Kes melibatkan pusat kebajikan dan rumah anak yatim yang tular baru-baru ini menimbulkan kegusaran dalam hati ramai ibu bapa di luar sana yang memikirkan untung nasib anak-anak ini sekiranya mereka tiada nanti. Begitu juga pecah amanah yang berlaku di kalangan saudara sendiri.

Sungguh, harta itu boleh menggelapkan mata.Menyantuni anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa, atau yatim piatu bagi mereka yang kehilangan kedua-duanya merupakan suatu perkara yang dituntut dalam agama. Ujian yang besar terhadap mereka termasuklah kehilangan tali tempat mereka bergantung, tangan yang membelai penuh kasih sayang, hati seorang ibu atau bapa yang sentiasa menyayangi, didikan daripada orang tua mereka dan pelbagai lagi. Walau betapa ramai yang datang membantu,
ianya tidak akan dapat mengganti kekosongan yang ditinggalkan disebabkan kematian insan yang melahirkan dan membesarkan kita.

Sejarah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW juga merupakan seorang anak yatim piatu
sejak baginda berusia enam tahun. Menyusuri sirah junjungan besar ini, kita dapat
mengenalpasti mereka yang terlibat dalam proses penjagaan baginda setelah menjadi yatim piatu. Datuk baginda, Abdul Mutalib telah mengambil alih penjagaan baginda selama dua tahun sebelum meninggalkan Nabi Muhammad SAW seorang diri.

Namun bapa saudaranya Abu Thalib telah menggalas tanggungjawab itu dan mengasuh Nabi SAW sehinggalah baginda dewasa. Kasih sayang yang diberikan oleh bapa saudaranya itu tidak berbeza dengan kasih sayang terhadap anak-anaknya sendiri.
Pengurusan harta pusaka harus dilaksanakan oleh waris yang telah ditetapkan oleh syarak sekiranya tiada wasiat yang ditinggalkan.

Pengurusan ini perlu dijalankan oleh mereka yang adil supaya hak anak yatim ini terbela. Bahkan menguruskan harta anak yatim ini juga merupakan salah satu daripada jalan kebaikan yang boleh membantu mereka sementara mereka meningkat usia. Islam telah menitikberatkan kelebihan berbuat baik kepada anak yatim ini manakala turut memberi ancaman kepada mereka yang memakan harta anak yatim.

Oleh itu, sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan amanah, kita haruslah
memastikan bahawa sekiranya berlaku kematian ibu bapa di kawasan kejiranan kita, atau di kalangan ahli keluarga kita, amat penting bagi kita untuk memastikan sumbangan orang ramai yang ditujukan khas kepada anak yatim itu diserahkan kepada mereka.

Mereka yang menguruskan anak yatim ini tidak berhak mengambil harta atau pemberian yang diberikan kepada anak-anak ini walaupun sedikit, melainkan sekiranya penjaga itu sendiri dalam keadaan miskin dan terdapat keperluan untuk kos pengurusan anak-anak ini. Sekiranya sumbangan kepada anak-anak ini dimasukkan ke dalam akaun pemegang amanah, haruslah diwujudkan akaun yang berasingan supaya tidak bercampur dengan harta pemegang amanah itu sendiri bagi mengelakkan harta itu dituntut oleh waris penjaga.

Pengurusan harta pusaka yang diuruskan oleh perbadanan dan organisasi juga haruslah terdiri daripada badan yang sentiasa diaudit dan dipantau oleh pihak berkuasa, dan menggunakan akaun rasmi bagi mengelakkan pecah amanah dan ketirisan. Pihak berwajib juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan pengusaha rumah
anak yatim atau rumah kebajikan ini menjalani pemeriksaan secara berkala. Audit dan
pengurusan kewangan juga harus dilakukan dengan telus dan teliti.

Bukan mudah untuk memegang amanah namun sekiranya dijalankan sebaiknya, ia akan menjadi saham akhirat yang berpanjangan. Allah swt berfirman dalam surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut.”

Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim ini bukan sahaja dari segi makan pakainya, namun juga dari segi emosi dan sosial serta tarbiyah dalam kehidupan. Pastinya kehilangan ibu bapa bukanlah suatu yang mudah untuk ditempuh, dan kasih sayang yang kita hulurkan tidak akan dapat mengganti kasih sayang ibu dan bapa yang telah pergi, namun tanggungjawab itu tetap ada untuk kita galas bersama.

Wallahualam

OLEH: Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha Exco Wanita Remaja dan Kanak Kanak (WARAK)

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast