PULAU PINANG – Larangan makan di kedai telah menyebabkan jumlah sisa pepejal meningkat berlipat ganda kerana pembungkusan makanan menghasilkan banyak sampah.
Kwong Wah Yit Poh melaporkan, jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung di Pulau Pinang telah meningkat satu kali ganda.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, keadaan itu juga bertambah teruk kerana industri kitar semula tidak dibenarkan beroperasi, walaupun mereka telah memohon dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Satu-satu benda yang boleh dilakukan adalah mengurangkan penggunaan beg plastik dan kotak makanan satu kali guna, selain menyediakan bekas sendiri semasa membungkus makanan,” katanya,
Walaupun Pulau Pinang telah memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, tetapi makan di kedai masih tidak dibenarkan.
Kes Covid-19 yang tinggi juga mendorong ramai orang menempah makanan secara dalam talian, kaedah yang mudah, tetapi turut menyebabkan pertambahan sisa pepejal.
Kata Boon Poh, walaupun Majlis Kehijauan Pulau Pinang (PGC) mengeluarkan kotak makanan kitar semula dan mengedarkannya kepada penjaja, tetapi hasilnya kurang memberangsangkan.
“Setelah kotak yang diedarkan itu habis digunakan, penjaja akan menggunakan semula kotak sekali guna kerana harganya lebih murah,” katanya.
Menurutnya, walaupun ramai orang Pulau Pinang menyokong kempen hijau, tetapi kerjasama dan kesedaran pekerja asing dalam hal tersebut adalah lebih rendah. – MalaysiaGazette