KUALA LUMPUR – Seorang bapa ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 13 Ogos ini selepas tindakannya memukul dan mencederakan isteri dan anaknya tular dalam aplikasi Twitter.
Ketua Polis daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis mengesan hantaran tular mengenai pergaduhan membabitkan suami isteri yang mendatangkan kecederaan itu menerusi media sosial itu semalam.
Siasatan polis mendapati seorang wanita warganegara tempatan berusia 44 tahun bersama anak lelakinya berusia 14 tahun telah dipukul oleh suaminya di kediaman mereka di Taman Melati Utama, Setapak di sini.
Kejadian itu berlaku lebih kurang jam 11.30 pagi.
“Hantaran yang tular di laman sosial serta bunyi bising telah menyebabkan jiran datang ke kediaman mereka untuk meredakan keadaan.
“Pihak Polis juga telah ke tempat kejadian dan membawa isteri serta anaknya ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Berdasarkan mesej Twitter yang tular, anak lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Ibnu Sina berusia 14 tahun dan masih bersekolah.
Dia menagih bantuan orang ramai menyelamatkan mereka dengan mengadu dia dan ibunya dipukul oleh ayahnya seorang pemarah dan kaki pukul.
“Tolong bantu saya saya tinggal di PV6 Taman Melati Blok C saya kena tendang di tulang rusuk oleh bapa.
“Ini keganasan rumah tangga jadi sila tolong saya!!adik beradik saya pun sangat tertekan dengan insiden ini. Saya cuba halang bapa memukul tapi saya juga kena.. saya tidak bohong dan sumpah atas Allah, sila panggil polis dan tangkap bapa saya,” rayu remaja itu dalam mesej tersebut yang tular.
Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Lelaki itu mendakwa dia memukul dan mencederakan isteri serta anaknya kerana menuduh mereka mengambil wangnya tanpa kebenaran serta tularkan insiden pergaduhan keluarganya dalam aplikasi Twitter.
Ujar Ashari, mangsa yang hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan telah menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa dan anak mereka yang cuba untuk meleraikan pergelutan tersebut.
“Setelah pergelutan tersebut selesai, anak mangsa telah memuat naik hantaran berkenaan pergaduhan tersebut di aplikasi Twitter dan telah menjadi tular.
“Hal tersebut telah disedari oleh suspek pada jam 1.17 tengah hari semalam dan menyebabkan suspek sekali lagi menyerang anak mangsa.
“Mangsa telah membuat laporan Polis di Balai Polis Wangsa Maju kerana bimbang dengan keselamatan diri serta ahli keluarga yang lain,” tambahnya.- MalaysiaGazette