Tiada pelanggan dibenarkan dine-in ketika ini di Kandar Tajuddin Hussain di Lebuh Queen di sini.

GEORGE TOWN – “Pelanggan asyik berbalah dengan kami berhubung keperluan wajib imbas QR kod MySejahtera menyebabkan saya ambil langkah untuk tidak benarkan aktiviti dine-in buat masa ini.”

Itu keluhan pemilik Nasi Kandar Tajuddin Hussain, Mohammad Rafiudeen Ubaidullah ketika ditanya tiada susunan kerusi, meja buat pelanggan di premisnya di Lebuh Queen di sini, hari ini.

Mohammad Rafiudeen.

Menurut Mohammad Rafiudeen, pekerjanya hampir dibelasah sekumpulan lelaki selepas menegur perbuatan mereka untuk mengimbas QR ketika kerajaan membenarkan orang ramai makan di kedai beberapa bulan lalu.

“Selain itu, tindakan kami tidak membenarkan lebih daripada dua pelanggan duduk di meja yang sama sejajar dengan peraturan kerajaan turut dipertikaikan.

“Buat masa ini, saya rasa lebih elok kami berniaga sebegini (secara membawa pulang ke rumah) kerana takut pekerja kami periksa sijil digital MySejahtera untuk memastikan pelanggan lengkap dua dos vaksin itu menimbulkan isu ketidakpuasan hati dalam pelanggan.

Pemilik Nasi Kandar Tajuddin Hussain tidak menyediakan tempat duduk buat pelanggan dine-in ketika ini.

“Kami memang berterima kasih dengan kelonggaran yang diumumkan cuba buat masa ini saya memilih untuk tidak benarkan pelanggan dine-in di kedai kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Nasi Kandar Pelita serta Pokok Ketapang di sini, juga mendapati mereka tidak menyediakan meja serta kerusi buat pelanggan untuk makan di premis tersebut.

Ada yang memberi alasan belum dapat arahan daripada pihak pengurusan untuk benarkan pelanggan dine-in serta tidak mahu ambil risiko memandangkan ada dalam kalangan pekerja belum lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19.

Nasi Kandar Pelita di Jalan Macalister di sini turut tidak menyediakan kerusi, meja untuk membolehkan pelanggan makan di premis tersebut.

Sementara itu, orang ramai ketika ditemui meluahkan rasa gembira atas pengumuman kelonggaran SOP yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu.

Menurut Hamid Zaidi Abdul Rahim,52, dia yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin itu teruja menunggu hari ini sebaik pengumuman itu dibuat oleh kerajaan.

Hamid Zaidi (kiri) minum bersama rakannya di sebuah gerai roti bakar di sini.

“Saya ni jenis suka berbasikal jadi apabila dibenarkan untuk makan dan minum di kedai membuat saya lebih mudah untuk berhenti rehat sebelum meneruskan kayuhan.

“Bagi saya kelonggaran yang diberikan kerajaan ini perlu dimanfaatkan namun dalam masa sama kita tidak boleh leka dengan SOP agar kelonggaran itu tidak ditarik semula,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast