Suasana di pusat beli-belah lengang pada hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diperketatkan di pusat beli-belah Kenanga Whole City , Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 25 MEI 2021..

KUALA LUMPUR – Kerajaan sewajarnya membuka sektor perdagangan domestik dan peruncitan seperti yang dituntut oleh wakil sektor dan persatuan perniagaan memandangkan kebenaran ‘dine-in’ yang berisiko lebih tinggi sudah pun dibenarkan.

Exco Angkatan Muda Keadilan, Gavin Way berkata, pembukaan sektor perdagangan domestik dan peruncitan itu wajar dipertimbangkan dengan penetapan garis panduan atau SOP yang ketat selepas mengambil kira cadangan daripada wakil sektor.

Contohnya, penetapan jumlah individu yang dibenarkan masuk pada sesuatu masa, pemakaian sarung tangan semasa membeli-belah, penunjukan bukti kelengkapan vaksin dan kekerapan sanitasi premis.

Menurutnya, kelangsungan imunisasi tenaga kerja sektor perdagangan domestik dan peruncitan juga perlu diambil kira dalam pertimbangan pembukaan semula sektor ini.

”Kerajaan sepatutnya membuat perancangan yang rapi mengenai pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan bukan membuat keputusan secara tergesa-gesa mengikut selera golongan tertentu.

”Pembukaan semula sektor perdagangan domestik dan peruncitan yang merupakan penggerak ekonomi wajar dipertimbangkan demi menjamin kelangsungan ekonomi negara pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sektor ini memainkan peranan yang penting dalam ekosistem ekonomi negara dan sektor ini merupakan antara yang paling terkesan akibat penutupan sektor ekonomi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan di seluruh negara.

Lagipun, data dan statistik daripada KKM telah membuktikan bahawa sektor perdagangan domestik dan peruncitan bukan penyumbang besar kepada kluster Covid-19, yang mana hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan kluster melibatkan sektor ini, manakala tahap pematuhan SOP sektor berkenaan pula ialah 98.54 peratus.

Selain itu, jelas beliau, kemudahan pelancongan dalam negeri yang baharu diumumkan tidak akan sempurna dengan penutupan sektor peruncitan yang melibatkan semua pusat beli-belah. – MalaysiaGazette