GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) merancang menempatkan pesakit Covid-19 tahap tiga di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Nibong Tebal.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib berkata, perancangan itu dibuat sebagai persediaan awal susulan Pulau Pinang menunjukkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 sejak tiga minggu lalu.
Jelas beliau, ketika ini PKRC berkapasiti 1,008 katil itu menempatkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua.
“Kita akui perlu bersiap sedia memandangkan peningkatan kes di negeri ini dan tidak boleh jangkakan kemungkinannya.
“Sehubungan itu, kita dalam perancangan menempatkan pesakit tahap tiga itu di PKRC sebelum dipindahkan ke hospital,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jalan Residensi, di sini hari ini.
Terdahulu, Asmayani menerima sumbangan peralatan perubatan dan elektrik bernilai RM27,090 daripada Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) selaku pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Muadzam Shah (JSAMS) untuk ditempatkan di PKRC MEC.
Antara barangan yang disumbangkan ialah lampu pemeriksaan, mesin monitor pesakit, alat imbas suhu badan, troli, rak ubatan, peti sejuk, televisyen dan lain-lain lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Faisal Shahbudin berkata, sumbangan itu adalah inisiatif bagi membantu institusi kesihatan di negeri ini terutama dalam mengekang pandemik Covid-19.
“Kita sedang berjuang dalam mengawal penularan pandemik Covid-19 dan kebanyakan hospital sudah beroperasi pada paras maksimum.
“Justeru, diharap bantuan ini membolehkan institusi kesihatan di Pulau Pinang terus memberi perkhidmatan baik kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik,” ujar Faisal. – MalaysiaGazette