KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan Kempen RM10 sebagai satu usaha untuk mengajak dan mendidik masyarakat Islam untuk menunaikan zakat dengan jumlah serendah RM10.

Dalam situasi pandemik Covid-19 kini, semakin ramai yang memerlukan bantuan apabila terjejas pendapatan akibat dibuang kerja, dipotong gaji dan sebagainya sehingga melahirkan asnaf baharu.

Dengan memulakan zakat serendah RM10, ianya mampu menyediakan satu hidangan makanan buat mereka yang memerlukan.

Kempen yang berlangsung selama enam bulan bermula Julai hingga Disember 2021 ini menyasarkan mereka yang berpendapatan atau gaji bersih serendah RM1,692 yang mana merupakan gaji minima wajib bagi seseorang untuk menunaikan zakat.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata: “Kempen RM10 ini adalah sebagai satu permulaan buat mereka yang tidak pernah menunaikan zakat untuk memulakannya dengan bayaran zakat serendah RM10. Kesan daripada pendemik Covid-19, golongan yang sebelum ini adalah M40, malah T20 juga kini telah jatuh ke golongan B40 dan menjadi asnaf ‘segera’.

”Walaupun nilai RM10 itu tidak nampak banyak namun inisiatif ini dilihat mampu membantu meningkatkan kutipan zakat bagi membantu golongan asnaf yang semakin meningkat”.

Oleh itu, PPZ-MAIWP menyeru orang ramai khususnya mereka yang tidak pernah menunaikan zakat untuk memulakan ibadah wajib ini dan merasai sendiri nikmatnya yang mana Allah akan melipatgandakan rezeki mereka sehingga 700 kali ganda dalam pelbagai bentuk seperti kesihatan yang baik, kemudahan dalam selesaikan masalah, kewangan yang stabil, ketenangan jiwa dan pelbagai lagi.

Kempen ini terbuka kepada semua pembayar baru yang menunaikan zakat secara dalam talian melalui zakat_10.zakat.com.my. Pembayar bertuah berpeluang memenangi hadiah menarik seperti Kamera Perakam Video dan Jam Pintar. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast