LONDON – Liga Perdana Inggeris (EPL) masih mengekalkan statusnya sebagai liga bola sepak yang paling berkompetitif di benua Eropah.
Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters mengeluarkan kenyataan tersebut sambil menolak idea bahawa kelab elit England menarik diri daripada liga divisyen lain.
Juara bertahan Manchester City menamatkan kempen musim lalu dengan 20 mata berbanding pasukan tempat kelima dalam carta dan begitu juga dengan Liverpool dengan 37 mata semasa menjuarai EPL pada musim 2019-20.
“Saya tidak fikir begitu, kerana ia masih tidak dapat dibuktikan mana-mana pihak,” katanya apabila mengulas mengenai jurang mata antara pasukan teratas carta dengan yang lain semakin lebar.
Masters yang telah mengambil alih pentadbiran liga perdana pada Disember 2019 menjangkakan persaingan antara 20 pasukan EPL akan lebih kompetitif musim ini kerana akan merebut slot untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa.
“Kami tahu perbezaan yang boleh dibawa dalam status kewangan dan masa depan anda. EPL masih berstatus paling kompetitif di benua ini dan kita mahu terus kekal sebegitu dan saya percaya ia masih sama.
“Dengan berbaki dua sehari lagi untuk EPL musim 2021/22 membuka tirai Sabtu ini, Masters dipanggil untuk wawancara khas bersama BBC Sports untuk membincangkan protokol Covid-19, kehadiran pengunjung semula ke stadium dan isu perkauman dalam bidang bola sepak.
Pendatang baharu dalam EPL, Brentford yang popular dengan panggilan the Bees akan membuka tirai EPL dengan berdepan Arsenal di halaman sendiri di Stadium Komuniti Brentford pada malam Jumaat ini.
Malahan kira-kira 300,000 penonton dijangka akan membanjiri stadium untuk 10 perlawanan pertama hujung minggu ini.
“Ia satu saat yang sangat menakjubkan dan dinanti-nantikan semua pihak.
“Ia menyebabkan kita berasa kembali perlahan-lahan kepada norma biasa dan kita sentiasa akan mengutamakan keselamatan dan kesihatan semua pihak nanti,” katanya. – BBCSports.com