Anggota polis serta penguatkuasa DBKL menjalankan kawalan dan pemantauan di Rumah Prihatin @ Grand Seasons susulan sebuah video tular memaparkan orang ramai termasuk warga asing beratur panjang untuk mendapatkan vaksinasi secara walk-in semalam.

KUALA LUMPUR – Rumah Prihatin @ Grand Seasons Kuala Lumpur menepis dakwaan berlakunya penjualan slot janji temu vaksinasi terhadap warga asing.

Ia berikutan tular sebuah video yang memaparkan orang ramai beratur panjang termasuk kumpulan warga asing dipercayai untuk mendapatkan suntikan vaksin secara walk-in semalam.

Timbalan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah menegaskan, tiada sebarang penjualan slot temu janji vaksinasi di Rumah Prihatin berikutan proses saringan ketat dijalankan ke atas setiap individu yang hadir untuk menerima suntikan.

Timbalan Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.

“Apa yang mungkin berlaku di luar sana adalah di luar kawalan kita tetapi kalau dalaman itu memang kita kawal ketat, tidak berlaku sebarang tindakan seperti itu di sini.

“Tetapi kita lihat di luar sana mungkin ada penipuan berlaku sedangkan yang terkini ada pihak tidak bertanggungjawab jual sijil digital vaksinasi dan buat cetakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Prihatin hari ini.

Mengulas lanjut berkaitan video yang tular di laman sosial sejak semalam, Mohd Irwan berkata, orang ramai mula beratur panjang di antara pukul 7 hingga 8 pagi di sepanjang laluan hotel berkenaan.

Jelas beliau, bagaimanapun tindakan pantas anggota polis dengan kerjasama penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat menyuraikan kebanjiran orang ramai termasuk warga asing itu.

“Kita memang dapat kerjasama baik dari polis dan DBKL untuk mengawal orang ramai yang hadir setiap hari ke sini dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Cuma semalam itu, yang hadir secara berkumpulan dan ramai tapi selepas itu tindakan pantas polis dapat suraikan keadaan.

“Semalam mungkin ada salah faham dalam kalangan warga asing ini, mungkin mereka beranggapan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sediakan vaksinasi secara walk-in sebab itu seawal pagi lagi mereka sudah berkumpul.

“Kita tengok dalam video memang agak ramai tetapi inilah respon yang kita nampak bahawa golongan warga asing ini memang memerlukan vaksin,” ujarnya.

Artikel berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Irwan turut memaklumkan bahawa Rumah Prihatin sentiasa menjalankan sebarang bentuk penambahbaikan operasi sekiranya berlaku isu berbangkit.

Kata beliau, pihaknya juga akan melihat keperluan untuk menambah bilangan petugas dan sukarelawan di hotel kebajikan tersebut.

“Setakat ini terdapat di antara 100 hingga 150 petugas termasuk sukarelawan yang bertugas dalam satu-satu masa. Setiap hari juga kita adakan perbincangan untuk tambah baik operasi untuk mengatasi sebarang masalah yang timbul,” katanya.

Tambah beliau lagi, sebelum ini program vaksinasi di Rumah Prihatin secara purata memberikan kira-kira 600 dos setiap hari dan terkini sudah mencapai bilangan 2,000 dos sehari.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati tiada sebarang kesesakan atau kebanjiran orang ramai di Rumah Prihatin yang terletak di Jalan Pahang hari ini.

Difahamkan, hanya individu yang mempunyai temu janji vaksin dos kedua dibenarkan untuk masuk ke premis berkenaan.

Turut kelihat beberapa kereta peronda polis yang melakukan pemantauan di kawasan tersebut dengan dibantu penguatkuasa DBKL.

Semalam, tular di media sosial memaparkan sebuah video berdurasi 7 minit 15 saat yang menunjukkan kesesakan orang ramai di Rumah Prihatin @ Grand Seasons. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast