Tanpa mematuhi SOP PKP, warga asing memenuhi PPV untuk mendapatkan vaksin secara walk-in.

KUALA LUMPUR – Kesesakan di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu Rumah Prihatin  Lembah Klang dan Bukit Jalil membabitkan pekerja asing turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen BN Bera itu segera meminta pihak penguat kuasa memastikan keadaan pekerja asing bersesak-sesak di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Season dan PPV Bukit Jalil yang tular di media sosial hari ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Reaksi itu menyusul selepas melihat satu video tular terbabit hari ini yang memaparkan orang ramai kebanyakannya warga asing berpusu-pusu sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) di kedua-dua PPV tersebut.

“Saya harap pihak penguat kuasa dapat memastikan keadaan pekerja asing bersesak-sesak seperti ini tidak berulang lagi kerana ia boleh menyebabkan penularan wabak.

“Saya akan menghubungi kementerian yang berkaitan serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kejadian ini dapat ditangani segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya pada hari ini.

Dalam pada itu Ketua polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihanya telah dengan menggerakkan pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ke lokasi kejadian dengan kadar segera.

“Pasukan pemantauan pematuhan SOP yang bergegas ke lokasi berjaya mengawal keadaan dan membuat hebahan kepada orang ramai yang bersesak supaya mematuhi SOP penjarakan fizikal dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette