Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Empat parti pembangkang menetapkan pendirian menolak tawaran penubuhan kerajaan bipartisan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diumumkan dalam perutusan khas petang tadi.

Pendirian parti-parti yang terdiri daripada Muda, Parti Warisan Sabah, Parti Sarawak Bersatu dan UPKO itu dinyatakan dalam kenyataan bersama malam ini.

Mereka berkata, sejak tahun lepas pembangkang telah membuat cadangan untuk menstabilkan kerajaan melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (‘Confidence and Supply Agreement’).

“Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yasin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan melalui pintu belakang, kami bersedia untuk bertolak ansur demi kemaslahatan dan kebajikan rakyat.

“Namun Tan Sri dengan sombong telah menolak segala tawaran pembangkang,” kata mereka.

Para pemimpin dan ahli-ahli Parlimen parti berkenaan mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sewenang-wenangnya menyalahgunakan undang-undang demi kuasa.

Mereka juga menegaskan bahawa bahawa bukan tanggungjawab Muhyiddin untuk memastikan kewujudan sokongan majoriti pada mana-mana Ahli Parlimen sebelum meletakkan jawatan.

Katanya, segala cadangan reformasi yang kononnya dibentangkan oleh Muhyiddin boleh diangkat dan dibawa ke Parlimen oleh Perdana Menteri baru yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu letak jawatan dengan kadar segera,” katanya.

Kenyataan tersebut menyenaraikan nama-nama presiden empat parti iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Wilfred Baru Bian dan Madius Tangau.

Ahli-ahli Parlimen Warisan pula terdiri daripada:

Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang)
Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu)
Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar)
Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Kota Belud)
Ma’mun Sulaiman (Kalabakan)
Ahmad BHassan (Papar)
Datuk Rozman Isli (Labuan)

Ahli Parlimen Parti Sarawak BERSATU

Dato’ Masir Kujat (Sri Aman)

— MalaysiaGazette