KUALA LUMPUR – Tidak dapat dinafikan cadangan Perdana Menteri supaya persefahaman rentas parti diwujudkan merupakan tawaran yang memberikan manfaat ke arah mereformasikan institusi.
Namun Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir yakin parti pembangkang tidak akan mengubah pendirian untuk menerimanya.
Jelas beliau, ini kerana agenda utama yang diperjuangkan oleh parti pembangkang adalah untuk menggantikan kerajaan.
“Sudah tentu pembangkang sekarang mempertikaikan tawaran itu, mengapa sekarang, mengapa tidak sebelum ini?
“Lagipun, kalau pembangkang menerima tawaran itu, bukan itu agenda utama mereka bukan itu yang mereka nak. Agenda utama mereka adalah untuk menggantikan kerajaan dan Perdana Menteri.
“Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim, buat apa dia menerima jawatan Ketua Pembangkang bertaraf menteri sekiranya dia boleh menjadi Perdana Menteri? Itu sebenarnya agenda utama pembangkang atas alasan kegagalan PM dan alasan sudah hilang majoriti,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Ujarnya, parti pembangkang sudah tentu mempertikaikan ketelusan cadangan itu apatah lagi ia disuarakan pada saat-saat Muhyiddin bakal berhadapan undi percaya di Parlimen pada September ini.
“Memang tidak dinafikan, tawaran itu cukup baik, cukup menggiurkan tetapi pembangkang tidak akan terperangkap dengan umpan itu saya tidak nafikan tawaran itu akan mengreformasijan institusi, ianya cukup baik. Tapi alangkah bagusnya kalau tawaran itu dibuat pada awal pemerintahan supaya dilihat lebih telus dan ikhlas mengapa selepas 18 bulan berkuasa menawarkan itu,” jelas Jeneri.
Justeru itu, Jeneri yakin usaha mencari sokongan ini tidak akan berjaya.
“Yang jelas apabila ia disuarakan sekarang ia merupakan langkah terdesak itu diambil dalam keadaan terdesak untuk menyelematkan orang terdesak, untuk selamatkan PM daripada kalah dalam undi percaya di Parlimen September nanti
“Jadi, usaha Muhyiddin ini tidak akan berjaya, ada komitmen dan kesungguhan PM untuk melakukan yang terbaik itu terlihat dalam demokrasi itu sepatutnya amalan demokrasinya,” katanya mengulas.
Sementara itu, penganalisis politik tersebut berpendapat, Pas tidak perlu untuk menyuarakan pendirian sekiranya DAP menerima cadangan kerjasama rentas parti.
Katanya, ia kini sudah tidak relevan selepas parti pembangkang secara jelas menolak cadangan itu sejurus selepas Muhyiddin mengumumkannya semalam.
“Tidak ada isu Pas perlu menyatakan pendirian tapi sebagai satu kerajaan Pas sudah tentu terpaksa akur sebab PM cakap begitu (tawarkan begitu). Saya percaya PM pun sudah berbincang dengan komponennya sebelum mengumumkannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette