Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup dan kanvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED (Jabatan Kecemasan). Sekarang dah nampak lantai.”

Demikian perkongsian seorang Pakar Anestesiologi di Hospital Kuala Lumpur, Dr Hana Hadzrami, menerusi laman Facebooknya hari ini.

“Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya dihujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan,” katanya yang percaya perkembangan positif itu disebabkan peningkatan vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jelas beliau, kes rujukan dari Jabatan Kecemasan kepada Unit Rawatan Rapi) untuk pesakit COVID kritikal semakin berkurang.

“Kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU, dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang. Sekarang dah nampak sedikit ruang,” katanya lagi dalam catatan yang setakat ini menerima lebih 1,600 komen dan 9,400 perkongsian pengguna Facebook.

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 dalam kalangan warga emas juga didapati menurun sejak awal Julai, manakala jumlah kemasukan pesakit warganegara menurun sejak minggu lepas.

Tambahnya, majoriti pesakit COVID-19 yang datang menerima rawatan di hospital itu sejak minggu lepas adalah dalam kalangan warga asing.

Beliau turut berkongsi maklumat bahawa pesakit kritikal yang menerima rawatan di ICU dan pesakit meninggal dunia juga semakin berkurangan.

Katanya walaupun jumlah pesakit kategori ringan masih ramai, mereka cuma memerlukan pemantauan dan rawatan di wad sahaja.

Dr Hana yang juga ahli Medical MythBuster Malaysia berkata masih ada kemasukan pesakit COVID-19 kritikal ke ICU dalam kalangan warganegara, namun terdiri daripada mereka yang tolak vaksinasi.

“Ada juga pesakit COVID kritikal dalam kalangan yang divaksinkan namun mereka sembuh sangat cepat berbanding yang tak divaksinkan langsung,” katanya.

Beliau berkata, empat pesakit di hospital yang telah divaksin memerlukan bantuan pernafasan hanya tiga hingga empat hari berbanding dua hingga tiga minggu bagi pesakit lain yang tidak sempat menerima vaksin.

“Mereka (yang telah divaksin) pulih dengan X-ray dada yang bersih berbanding dengan majoriti (tidak sempat divaksin) yang rabak paru-parunya. Belum masuk yang dah meninggal,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pesakit COVID-19 di ICU hospital itu masih ramai hasil kemasukan pesakit sejak sebulan lepas, malah jumlah kes kematian sebelum tiba ke hospital juga masih ramai.

Melihatkan kepada situasi itu, beliau mengajak orang ramai untuk terus berusaha dan bertawakal bagi memerangi wabak COVID-19 dengan mengambil vaksin.

“Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit COVID kritikal di ICU hanya tiga orang – sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast