JOHOR BAHRU – Tiga daripada enam anggota termasuk pegawai polis yang ditahan dalam keadaan khayal kerana dipercayai mengambil dadah di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa, di sini, pada 6 Ogos lalu dituduh di Mahkamah Majistret semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengesahkan perkara itu berkata, dua pegawai dan seorang anggota polis itu mengaku tidak bersalah selepas didakwa bagi pertuduhan menggunakan dadah.
“Kesemua tertuduh berusia 29, 31, dan 32 tahun tidak mengaku salah apabila dituduh di Mahkamah Majistret semalam.
“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, tiga lagi penjawat awam belum didakwa dan siasatan masih dilakukan.
Terdahulu media melaporkan enam pegawai dan anggota polis antara 66 individu ditahan di sebuah pusat hiburan yang beroperasi 24 jam di Taman Sentosa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Soal siasat yang dijalankan ke atas suspek positif dadah mendapati dan mereka mengaku mengambil bekalan dadah di pusat hiburan berkenaan daripada individu dikenali dengan gelaran ‘doktor’. – MalaysiaGazette