Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangguhkan tarikh baharu sesi persekolahan pada 3 Oktober bagi sekolah di negeri fasa dua dan tiga adalah keputusan tepat dan sesuai dengan keadaan semasa Covid-19 yang sangat membimbangkan.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, sejak sebulan yang lalu para aktivis dan NGO pendidikan bersama sebahagian besar ibubapa di seluruh negara telah menyuarakan kerisauan mereka dan mendesak supaya pembukaan sekolah pada 1 September 2021 ditangguhkan.

Dengan pengumuman penangguhan oleh KPM semalam, ibubapa tentunya dapat menarik nafas lega.

Bagaimanapun, berdasarkan takwin persekolahan 2021, sekolah akan mula bercuti akhir tahun mulai 11 Disember 2021.

Ini bermakna bermula 3 Oktober 2021, murid-murid hanya akan bersekolah sekitar empat hingga lima minggu sahaja lagi sehingga tarikh cuti sekolah akhir tahun, kata Anuar.

Oleh itu, tidak banyak pembelajaran yang dapat dilakukan dalam tempoh masa tersebut.

Ini juga dengan andaian sekolah tidak ditutup jika berlaku kes jangkitan di sekolah namun, jika berlaku kes jangkitan di sekolah, minggu persekolahan akan berkurangan dan pastinya akan mengganggu pembelajaran murid-murid.

Sesuai dengan baki hari persekolahan yang masih tinggal, untuk meminimumkan risiko dan mengurangkan bebelan kewangan ibubapa, sebaiknya hanya murid-murid kelas peperiksaan sahaja yang dibenarkan bersekolah pada 3 Oktober nanti sehingga hujung tahun bagi negeri fasa dua dan tiga.

Manakala murid-murid lain kekal belajar secara PdPR sehingga cuti sekolah hujung tahun.

Bagi memastikan tahap keselamatan yang tinggi dan mengelak berlakunya penularan Covid-19, murid-murid kelas peperiksaan yang dibenarkan ke sekolah pada 3 Oktober nanti mestilah dipastikan telah mendapat dua dos vaksin terlebih dahulu sebelum dibenarkan ke sekolah.

Begitu juga mesti dipastikan bahawa ibubapa dan ahli keluarga yang dewasa di rumah juga telah lengkap mendapat dua dos vaksin sebelum anak-anak mereka boleh ke sekolah. – MalaysiaGazette