Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menawarkan pengurangan pembayaran saman sehingga 70 peratus kepada semua saman JPJ yang boleh dikompaun.

Tawaran itu sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-64 yang bertemakan “Malaysia Prihatin” bagi tahun 2021.

Bagaimanapun, tawaran itu dikecualikan kepada kes yang masih dalam sebutan mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

Pengurangan kompaun yang bermula pada 18 Ogos 2021 sehingga 16 September 2021 ini, akan diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ.

Tawaran yang sama turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 September 2021.

Urusan pembayaran notis saman ini boleh dibuat di semua pejabat JPJ Negeri, Cawangan dan UTC, kiosk atau secara atas talian (online) melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).

Bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki untuk hadir semula ke pejabat JPJ (cawangan ataupun negeri) bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan. – MalaysiaGazette