Keadaan kawasan di sekitar Gunung Jerai susulan fenomena kepala air yang mengakibatkan banjir kilat. - Foto: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

KUALA LUMPUR – Institut Geologi Malaysia (IGM) menyarankan satu kajian bencana geologi secara menyeluruh, bebas dan dianggotai pelbagai bidang kepakaran dengan diterajui oleh ahli geologi dapat dilakukan terhadap Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya.

Ia susulan berlaku kepala air di Geopark Kebangsaan Gunung Jerai yang memberikan impak terhadap kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Sebelum ini hujan yang ekstrem dikatakan antara punca pencetus kejadian.

Sumber Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaporkan Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281mm manakala Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan 172mm.

Presiden IGM, Abd Rasid Jaapar berkata, punca penyebab sebenar kejadian masih lagi memerlukan kajian yang terperinci.

IGM berpendapat bencana geologi dan juga bencana berkaitan geologi sepatutnya boleh dielakkan atau dikurangkan risikonya, sekiranya kajian terperinci dan pelan tindakan dibangunkan dengan mengarusperdanakan konsep pengurangan risiko bencana selari dengan amalan baik antarabangsa yang digariskan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 oleh United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR).

Ini kerana, ancaman risiko bencana geologi ini harus dipertingkatkan tahap kesedarannya dan difahami sebaiknya oleh masyarakat, malah ketika ancaman bencana berganda.

IGM juga berpendapat kajian potensi bahaya, kerapuhan dan risiko bencana berkaitan geologi perlu dilaksanakan terhadap semua kawasan produk pelancongan semula jadi termasuk geopark dan geotapak di seluruh negara.

Kajian juga disyorkan bersifat transdisciplinary dalam memahami kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana geologi pada  masa hadapan.

Kajian sebegini masih belum lagi dilakukan secara terperinci dan memerlukan komitmen pelbagai pihak.

Sekiranya kejadian aliran serpihan ini berlaku semasa kehadiran pengunjung atau pelancong yang ramai, sudah pasti akan memburukkan lagi keadaan.

”IGM difahamkan satu pasukan penyiasat akan dihantar oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ke tempat kajian untuk memantau dan membuat kajian awal.

”Bagaimapun sementara laporan kajian dikeluarkan oleh pasukan penyiasat tersebut, IGM menyeru ahli-ahli geologi supaya tidak terlalu ghairah mengeluarkan pandangan berbentuk spekulatif dan provokasi tanpa berdasarkan data, bukti-bukti sains dan fakta yang lengkap terutamanya data cerapan lapangan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Abd Rasid menambah, IGM amat komited dalam menyokong usaha kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan ke arah pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan yang lebih holistik dalam menilai risiko bencana geologi berasaskan sains, memahami tahap keterancaman setempat dan mencari solusi yang bersifat jangka masa panjang berasaskan maklumat geologi yang lengkap, tepat dan komprehensif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast