GEORGE TOWN – Kehadiran Ultraman membantu agensi kerajaan mengedarkan Jalur Gemilang mencuri tumpuan pengguna yang melalui Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, semalam.
Gelagat lelaki yang mengenakan kostum adiwira karakter Ultraman memandu van dihiasi Jalur Gemilang itu turut mengejutkan petugas barisan hadapan yang memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di lebuh raya tersebut.
Menurut Mohamad Syukur Mohd Patthi, walaupun tahun ini sambutan Hari Kemerdekaan tidak semeriah seperti sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19, namun ia bukan halangan untuknya menterjemahkan semangat cintakan negara melalui hiasan Jalur Gemilang di van miliknya.
Jelasnya, dia turut mengenakan kostum Ultraman memandangkan karakter itu lebih dikenali masyarakat pelbagai lapisan umur sekali gus mampu menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-64.
“Saya ambil masa kira-kira satu jam untuk menghiasi van ini dengan lebih 70 Jalur Gemilang yang kebanyakannya dilekat pada bahagian atas.
“Saya harap dengan usaha kecil ini dapat menyuntik rasa bangga kepada masyarakat dengan kemerdekaan yang kita kecapi sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dan Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Dr. Haniff Hassan mengedarkan 200 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di kawasan tersebut.
Kehadiran Ultraman secara spontan itu turut memeriahkan keadaan apabila dia membantu menjayakan program pemberian bendera tersebut.
Sementara itu, Soffian berkata, dia amat menghargai inisiatif lelaki berkenaan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan mengikut kreativiti tersendiri.
“Namun perlu diingatkan, orang ramai yang menghiasi Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing perlu pastikan keselamatan dan undang-undang dipatuhi.
“Jangan kita ghairah menghias kenderaan hingga mengabaikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” kata Soffian. – MalaysiaGazette