LONDON – Pep Guardiola antara pengurus kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris yang mendesak pemain untuk mengambil suntikan vaksin lengkap Covid-19.
Angka kes ujian positif telah meningkat sejak akhir-akhir ini dan 11 kes positif dilaporkan dalam perkembangan terkini.
Justeru, Pengurus kelab lain seperti Mikel Arteta, Nuno Espirito Santo, Steve Bruce dan Graham Potter juga telah memanggil pemain mereka untuk mengambil suntikan dos vaksin segera.
Namun Guardiola yang menguruskan Manchester City mendakwa dia bukan orang yang sesuai untuk memujuk para pemainnya.
“Kami boleh menggalakkan para pemain mengambil suntikan dos vaksin tetapi tak boleh memaksa mereka mengambil vaksin.
“Saya rasa doktor, jabatan perubatan dan kesihatan adalah pihak yang berhak menasihati dan memanggil pemain untuk mengambil vaksin Covid-19 kerana ia akan membolehkan pemain sedar bahawa ia untuk kebaikan mereka untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat mereka.
“Tetapi tiada sesiapapun yang boleh memaksa mereka menerima suntikan itu,” katanya.
Ibu Pep juga telah menjadi mangsa Covid-19 apabila meninggal dunia akibat jangkitan virus itu pada April tahun lalu.
“Saya rasa kaedah paling terbaik adalah memberi penerangan kepada para pemain kebaikan menerima vaksinasi untuk diri, keluarga mereka dan kemudian mereka akan membuat keputusan sama ada mahu menerima atau sebaliknya saranan itu.
“Tetapi apabila semua saintis, doktor dan pakar-pakar perubatan menyatakan bahawa satu-satunya penyelesaian yang ada untuk membantu meneruskan kelangsungan hidup selepas dua tahun yang dilanda pandemik ini adalah menerusi suntikan vaksin, maka saya rasa mereka perlu mempertimbangkan semula saranan itu,” kata Pep.-BBC Sport.com.