BERA – Bagi memudahkan urusannya sebagai Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang kini dilantik menjadi Perdana Menteri baharu telah membeli sebuah teres di daerah itu sejak tahun 2004 bagi dijadikan pusat aktiviti masyarakat.
Saridun Osman, 78, yang ditugaskan menjaga rumah berkenaan menjadi saksi, kediaman itu meriah setiap kali Naib Presiden UMNO itu balik kawasan.
Beliau ditugaskan menjaga dan membersihkan rumah berkenaan dan memastikan persekitaran sentiasa kemas dan rapi.
“Saya berkhidmat untuk Datuk Seri sejak 1990-an dan jaga rumah ini sejak tahun 2004 lagi. Datuk Seri balik kawasan, tak lekat duduk rumah, jumpa rakyat sana-sini dan bila malam nak tidur baru balik rumah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.
Menurut Saridun, rumah yang didiami oleh majikannya menjadi pusat pengumpulan aktiviti dan dikunjungi oleh semua peringkat umur untuk bertemu Ismail Sabri.
Selain itu, beliau mengakui sikap Ismail Sabri yang berbudi pekerti dan suka memudahkan urusan orang lain selain merendah diri dan tidak bermegah dengah kemewahan.
Sementara itu, bagi Sairi Mustaf, 55, karakter lembut serta mudah didekati Ismail Sabri juga dilihat setiap kali beliau menghadirimajlis kenduri penduduk di Bera.
Tambahnya, beliau bukan sahaja disenangi penduduk kampung malahan semua lapisan masyarakat dengan sifat peribadi yang bersahaja tanpa protokol dan mudah didekati.
“Kalau dia pergi kenduri, tidak pernah duduk tempat VIP, sebaliknya terus ke belakang. Dia masuk tempat sabak, tempat dapur orang buat kenduri masak dan bergotong-royong,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: