Hari ini, Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan setelah mendapat sokongan majoriti dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.- Gambar hiasan.

BERA – Hari ini, Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan setelah mendapat sokongan majoriti dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain menggembirakan ahli dan penyokong parti – berita baik itu sudah tentu dikongsi bersama penduduk di sini yang mana Naib Presiden UMNO itu sudah menjadi ahli parlimen di kawasan itu sejak tahun 2004 lagi.

Bagi pemilik restoran, Khairul Amin Muhammad Tahir menyifatkan Ismail Sabri Yaakob memang layak untuk untuk mentadbir negara dengan pengalaman prestasi yang konsisten.

Khairul Amin Muhammad Tahir

Baginya,  wakil rakyat itu menjaga Parlimen Bera dengan baik kerana mudah didekati semua lapisan masyarakat dan kerap meninjau keperluan penduduk.

“Kalau Datuk Seri balik dari Kuala Lumpur, menjadi kebiasaannya berkumpul dengan ahli-ahli UMNO selepas solat Jumaat. Rasa bersyukur sudah melihat berapa tahun pentadbiran di Bera, memang suka bantu, rendah diri dan bersifat cakna dengan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

BACA: Hasrat Ismail Sabri 20 tahun dulu jadi kenyataan

Menurut Khairul Amin, Ismail Sabri di matanya seorang yang sentiasa tenang dan dan banyak memberi sokongan kepada golongan belia dan usahawan muda.

“Waktu dia jaga Kementerian Belia dan Sukan, dia banyak bantu saya dan membantu peniaga dengan menjalankan konsep menghapuskan orang tengah, serta memberi peluang kepada usahawan untuk ke depan,” katanya lagi.

Selain itu, katanya, pencapaian beliau dalam menangani krisis Covid-19 juga wajar diberi sokongan dan kepercayaan kerana Ismail Sabri memperlihatkan pencapaian yang sangat cemerlang.

Baginya, maklumat disampaikan seperti dari hati ke hati tanpa selindiung dan menceritakan masalah sebenar yang sedang dilalui.

“Dia memaklumkan situasi tanpa berselindung, cerita realiti keadaan dan perlu dikekalkan momentum.

“Setiap hari saya setia tunggu di hadapan televisyen menantikan sidang media, selalu dengar celoteh Pak Long sejelas-jelasnya”.

Timah Abdullah

Manakala bagi Timah Abdullah , 70 tahun menyifatkan Perdana Menteri kesembilan itu seorang yang komited, rajin bekerja dan mesra dengan masyarakat.

Tambah Timah, sepanjang 40 tahun menetap di Bera, beliau menyaksikan pembangunan dan kemajuan di daerah itu serta usaha perkembangan yang dilakukan oleh Datuk Seri Ismail Sabri sepanjang menjaga Parlimen Bera.

“Senang didekati, sesiapa sahaja boleh jumpa Datuk Seri, dengan rakyat elok, merata pergi dengan rakyat.

“Beliau memang memberi contoh yang elok, suka sangat kalau Ahli Parlimen Bera kita menjadi Perdana Meneteri Malaysia ke-9”.

Selain itu, Ismail Sabri juga disenangi oleh semua lapisan masyarakat termasuk masyarakat orang Cina di sekitar Bera.

Bagi Ketua Wanita Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Daerah Bera, Yow Sien Fong, pemimpin itu sangat mudah didekati oleh penduduk setiap kali pulang ke kawasan.

Katanya, mereka berharap dengan pelantikan Ismail Sabri dapat meningkatkan lagi kemajuan serta merancakkan ekonomi daerah berkenaan.

“Harap Datuk Seri jadi PM  bandar Bera akan dinaik kemajuan, taraf lagi, dan dapat dimajukan lagi.

“Kawasan Cina di sini sangat bangga dengan pencapaian Ahli Parlimen Bera, dia baik dengan kaum Cina, mudah didekati jika ada peluang, tidak susah jumpa Datuk Seri.

“Datuk Seri Ismail Sabri sudah dikenali oleh penduduk bera, dia lembut dengan semua orang dan suka membantu rakyat,“ katanya kepada MalaysiaGazette.

Manakala bagi seorang lagi penduduk, Sefeie Abdullah, 55,  beliau telah mengenali hati budi pemimpin nombor satu Malaysia itu  selama 17 tahun dan menggambarkannya seorang yang tenang dan mempunyai budaya kerja yang sihat.

Sefeie Abdullah.

Selain itu, beliau sangat merendah diri dan tetap mendalami cara hidup orang kampung, merendah diri, prihatin kepada semua.

Bahkan selama 22 bulan menjadi pembangkang, beliau tetap pulang ke kampung menjenguk kawasan dan berkhidmat sebaiknya menunjukkan sikap tidak putus asa walaupun tidak bergelar menteri ketika itu.

“Tenang, tak mudah melatah, budaya kerja yang sihat, buat kerja terus. Kalau orang mengadu terus bentindak dan tidak pernah menolak berjumpa rakyat.

“Contoh rumah retak, terus ambil tindakan, buat kerja tidak bertangguh, orang jenis bekerja bukan hanya orang berpolitik, tak pernah jemu jumpa rakyat,” katanya.

Selorohnya, apabila penat setelah pulang mendampingi rakyat pada malam hari, Ismail Sabri hanya makan mi segera, biskut cicah kopi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong berkenan lantik Ismail Sabri jadi PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast