Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai semasa keluar dari pintu 1 Istana Negara selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi bergelar sebagai Perdana Menteri Kesembilan selepas selesai Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan di Singgahsana Kecil, Istana Negara petang ini.

Naib Presiden UMNO itu mengenakan sepasang baju Melayu serba hitam itu melambai ke arah petugas media ketika beredar dari pintu utama Istana Negara pukul 3.23 petang tadi.

Beliau juga sempat menunjukkan isyarat bagus sebelum meninggalkan pekarangan Istana Negara dengan diiringi kenderaan polis pengiring ke kediamannya di Petaling Jaya dekat sini.

Terdahulu Ismail Sabri bersama isterinya, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin tiba di Istana Negara melalui Pintu 2 di Bukit Damansara bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan ke Singgahsana Kecil untuk menghadiri istiadat diraja itu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Pelantikan beliau itu dibuat selaras dengan peruntukan di dalam Perkara 40 (2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan selepas Majlis Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan semalam berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu, kemelut dapat dapat diakhiri dengan segera.

Semua ahli Dewan Rakyat diharap dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik ini demi kepentingan rakyat dan negara.

Seri Paduka mengulangi pandangan, rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung petang semalam di Istana Negara bagi membincangkan isu pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan Kabinet baharu selain menjadi proses akhir sebelum Seri Paduka menentukan pemimpin politik yang benar-benar layak serta mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen menjadi ketua kerajaan baharu.

Pada Khamis lalu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 114 ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Ismail Sabri, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri sebelum ini didakwa mendapat sokongan majoriti seramai 114 ahli Parlimen berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat 105 sokongan wakil rakyat.

Muhyiddin dan Kabinetnya pada 16 Ogos lalu telah menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongan mereka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau PM ke 9 ni jatuh, lepas ni giliran PM dari Gabungan Parti Sarawak plak…PN sudah jd PM, kali ni wakil BN…lepas ni GPS plak jd PM…PN sorang2 atau BN sorang2 tak blh tubuh kerajaan.

Comments are closed.