KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri diharap dapat memperkasakan Barisan Nasional (BN) dalam membela rakyat.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya juga mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera itu.
“Dewan Tertinggi BN yakin dengan pengalaman beliau dan didukung oleh parti yang mempunyai rekod perkhidmatan yang luas dan panjang.
“Datuk Seri Ismail Sabri mampu untuk mendepani cabaran semasa bagi mengembalikan citra Malaysia sebagai sebuah negara progresif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Zambry menasihatkan semua pihak khususnya seluruh kepimpinan BN di setiap peringkat memberikan sokongan dan bersatu hati bagi memastikan BN akan dapat memberikan khidmat bakti terbaik buat rakyat.- MalaysiaGazette