KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim gara-gara membuat ciapan di media sosial miliknya, semalam.
Pemain tengah skuad Harimau Selatan itu memberitahu, permohonan maaf itu turut ditujukan kepada kelab dan rakan sepasukannya.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf atas tweet yang mengikut perasaan saya semalam kepada rakan sepasukan, kelab dan terutama sekali Tunku Mahkota Johor yang banyak membantu saya selama ini di dalam dan di luar padang.
“Saya mengakui saya tidak sepatutnya bertindak mengikut emosi dan seharusnya fikir di mana kesilapan saya selama ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial miliknya, hari ini.
Semalam, Syafiq memuat naik ciapan yang berbunyi ‘Seronok tengok kawan-kawan main’ yang mana kelab itu menentang PJ City.
Berikutan itu Tunku Ismail yang merupakan pemilik JDT mengingatkan para pemain kelab itu bahawa hanya mereka yang menunjukkan prestasi baik akan diturunkan pada setiap perlawanan Liga Super.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, pemain sudah sedia maklum mengenai syarat-syarat dan polisi kelab ketika menandatangani kontrak bersama JDT.
Jelas beliau, dalam JDT, siapa yang bekerja keras pada sesi latihan dan beri persembahan terbaik akan diturunkan.
Ujar TMJ, sesiapa yang hendak cabaran dalam karier dan memenangi kejuaraan, boleh datang ke JDT.
Namun katanya, sesiapa hendak minit permainan, boleh menyertai kelab lain kerana tidak ada orang yang paksa dan semua pilihan atas tangan pemain sendiri.
Sebelum ini, status penyerang kebangsaan itu menjadi tanda tanya peminat bola sepak tempatan apabila sekian lama beliau tidak diturunkan dalam aksi kompetitif Liga Super bersama JDT.
Berdasarkan rekod, sepanjang enam aksi terakhir dalam saingan Liga Super, nama Syafiq Ahmad tidak didaftarkan oleh JDT.
Pemain berusia 26 tahun itu turut tidak berada dalam senarai bangku simpanan apatah lagi dalam kesebelasan utama sejak saingan liga super kembali bersambung.
Kali terakhir Syafiq diberi kepercayaan Benjamin Mora adalah ketika JDT beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) ketika menentang Nagoya Crampus pada 4 Julai. – MalaysiaGazette