KUALA LUMPUR – Penghibur popular Indonesia, Krisdayanti meluahkan rasa syukur setelah anaknya, Aurel Hermansyah kini disahkan hamil lagi anak pertama setelah mengalami keguguran pada pertengahan Mei tahun ini.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, anak dan menantunya bertuah kerana dipilih untuk bergelar ibu dan bapa tidak lama lagi
“Masya Allah Tabarakkallah. Sekarang mereka sudah bersedia untuk mengumumkan betapa bertuahnya mereka kerana terpilih untuk bergelar ibu dan bapa.
“Terima kasih atas hujan berkat dari-Mu Ya Rabb. Untuk kesemua anak-anakku tanpa terkecuali Aurel, Atta, Jiel, Amora dan Kellen, semua bersar dan hebat.
“Alhamdulillah, terima kasih mama dan mae kerana mendoa dan melengkapkan ku sebagai ibu yang akan segera menjadi seperti mama dan mae,” tulisnya yang juga ahli politik negara jiran itu.
Hantaran itu juga disertakan dengan tanda pagar “wannabe grandma” yang mengambarkan keterujaan Kris, 46, yang bakal bergelar seorang nenek.
Sementara itu, Aurel, 23, dan suami, Atta Halilintar, 26, bernikah pada 3 April tahun ini.
Namun pada 13 Mei, Aurel yang baharu hamil mengalami keguguran yang teruk sehinggakan dia terlantar di atas katil.
Pasangan muda itu bersedia untuk berkongsi khabar gembira ini kepada umum menerusi hantaran di Instagram yang menunjukkan video pengimejan ultrasound kandungan Aurel.
“Anakku Alhamdulillah, Allahuakbar sihat dan kuat ya anakku. Papa dan mama akan menjagamu sekuat kami. Setelah tiga bulan lebih merahsiakan dengan banyak media dan infotainment yang terus bertanya dan berita yang semakin tersebar. Doakan yang terbaik sahaja untuk keluarga kecilku.,” ucap Atta memohon semua mendoakan yang terbaik kepada keluarganya. – MalaysiaGazette