SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan tidak dapat melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang maju tanpa rasuah.
Sultan Sharafuddin bertitah, ini kerana amalan rasuah masih lagi menjadi budaya segelintir penjawat awam susulan tangkapan beberapa pegawai berkedudukan tinggi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
“Beta bimbang, pada usia beta 75 tahun ini, beta tidak sempat untuk melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang maju dan pesat membangun dengan segala kemudahan yang menjamin keselesaan rakyat seperti yang kita semua idamkan.
“Beta juga ada menerima laporan mengenai siasatan pihak SPRM terhadap pemimpin-pemimpin politik berkaitan dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Beta kesal kerana masih ada tidak jujur di dalam melaksanakan amanah yang diletakkan kepada mereka walaupun seringkali beta ingatkan untuk tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah yang boleh merosakkan bangsa dan negara,” titahnya ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin juga mengingatkan sekali lagi bahawa baginda tidak mahu mendengar sebarang laporan tentang penglibatan mana-mana pegawai kerajaan dan pemimpin politik di Selangor dengan amalan rasuah.
“Beta telah pun menitahkan pihak SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi membersihkan Selangor daripada amalan rasuah.
“Beta berharap pelaku rasuah ini dapat dihadapkan ke mahkamah dan dihukum dengan hukuman berat bagi menyampaikan mesej penolakan rakyat terhadap gejala rasuah ini. Perasuah tiada tempat di dalam masyarakat dan perlu kita perangi secara habis-habisan.
“Andaikata sikap pemimpin politik dan pegawai kerajaan berterusan mementingkan kuasa dan kedudukan, amalan rasuah jadi budaya hidup, kepentingan rakyat diketepikan, (nescaya) ekonomi Selangor akan terus terjejas akibat Covid-19,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Selangor merayu kepada semua rakyat agar menghormati agama dan budaya masing-masing serta dapat terus hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu.
“Janganlah kita amalkan budaya menghina agama kaum yang lain atau menyentuh isu-isu sensitif berkaitan mana-mana kaum. Janganlah kita cuba untuk membakar api perkauman dan mencetuskan provokasi yang boleh membawa kesan buruk kepada keharmonian rakyat.
“Harus diingat, jika kekacauan berlaku antara kaum, api kemarahan dan perpecahan ini amat sukar untuk dipadamkan,” titahnya.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat sejak negara dilanda pandemik Covid-19 hampir dua tahun lalu.
“Beta menzahirkan ucapan rasa penghargaan dan berterima kasih di atas segala pengorbanan dan komitmen yang telah diberikan oleh semua petugas barisan hadapan khususnya para doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang bertungkus-lumus bekerja memberi rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19.
“Beta sangat menghargai semangat mereka yang tidak pernah luntur di dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Beta,” titah Tuanku lagi. – MalaysiaGazette