Seorang pelanggan menunjukkan sijil digital vaksinasi sebelum memasuki premis untuk mengunting rambut selepas kerajaan membenarkan beroperasi buat negeri Fasa 1 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Gunting Rambut Image, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Susulan pendedahan sebuah klinik bahawa terdapat golongan antivaksin yang mahu membeli sijil vaksinasi untuk pelbagai tujuan, seorang pengarah filem mendedahkan bahawa penggunaan sijil palsu tidak mungkin membolehkan seseorang melepasi sempadan negara.

Chong Keat Aun yang berkongsi pengalamannya keluar negara berkata, pendapat sesetengah pihak bahawa MySejahtera hanyalah “sijil domestik” adalah tidak benar.

“Ada kawan yang berpendapat bahawa sijil palsu dapat digunakan untuk urusan di sempadan.

“Jika anda betul-betul ingat MySejahtera tidak ada gunanya di luar negara, maka anda akan menderita dan terkandas di pintu keluar dan pintu masuk,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Keat Aun yang berkongsi pengalamannya keluar negara berkata, semasa urusan pendaftaran masuk (check-in) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petugas akan bertanya sama ada sudah menerima vaksin sebelum meminta bukti ujian PCR tempoh 48 jam dalam MySejahtera.

Katanya, hanya maklumat digital mengenai vaksinasi dalam MySejahtera diterima dan sijil dalam bentuk kertas adalah ditolak.

“Semasa memasuki pintu pelepasan dan pasport diperiksa, pegawai juga akan meminta menunjukkan MySejahtera.

“abila tiba di tempat pesta filem di Switzerland, petugas acara turut meminta maklumat vaksinasi dan ujian PCR dalam MySejahtera.

“Sekiranya sudah menerima vaksin, maka peserta tidak perlu menjalani kuarantin, tetapi sebaliknya akan dipakaikan gelang yang membolehkan seseorang bergerak secara bebas,” katanya.

Pengarah filem dari Kedah itu juga berkongsi pengalamannya semasa balik ke tanah air apabila terserempak seorang warganegara Malaysia yang kehilangan telefon pintar, sekali gus tidak dapat membuka MySejahtera.

“Walaupun dia membawa sijil kertas, tetapi ia ditolak oleh petugas.

“Nasib baiklah kawannya ada satu lagi telefon dan penumpang itu segera membeli kad telefon dan memuat turun MySejahtera.

“Selepas hampir setengah jam, maklumat MySejahtera berjaya ditunjukkan dan barulah dia boleh menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast