Sidang DUN Pahang pada hari kedua

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang telah membelanjakan sebanyak RM48.9 juta bagi membantu golongan terkesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu hingga kini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM24.39 juta daripada peruntukan itu digunakan ketika PKP 1.0. yang membabitkan lima fasa dan sejumlah RM9.65 juta digunakan sepanjang PKP 2.0.

” Manakala bagi PKP 3.0, RM15.84 juta diperuntukkan melibatkan tiga fasa,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fadil Osman (BN-Kemayan) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.

Persidangan DUN mesyuarat pertama penggal ke-4 yang masuk hari kedua itu dihadiri 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, seramai 20,939 orang menerima manfaat daripada Bantuan Prihatin Pahang (BPP) berjumlah RM7.8 juta.

“Bantuan tersebut berupa bayaran tunai ‘one off’ RM250 bagi setiap penerima kepada 2,169 warga emas berusia 80 tahun, 20,757 penerima orang kurang upaya (OKU).

“Ia juga disalurkan kepada  13,154 pelaja OKU di bawah Jabatan Pendidikan Pahang dan 1,279 pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Pahang,” ujarnya yang menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku).

Selain itu, bantuan tunai dan bakul makanan kepada golongan terjejas seperti penjaja kecil, pemandu teksi, pekerja khidmat penghantaran dan pemandu e-hailing melibatkan lebih 19,000 penerima turut menerima manfaat, katanya. – MalaysiaGazette