KUALA PILAH – Seorang wanita didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melacurkan diri di sebuah hotel di sini, awal bulan ini.
Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu terhadap Junaidah Michael Reni Martin, 31, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, dan memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Junaidah yang berasal dari Sarawak didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan, di sebuah hotel di Pusat Komersial Melang kira-kira 11.50 pagi 1 Ogos.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’Atiqah Sapari.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula seorang lelaki mengaku tidak bersalah menjadi orang tengah dalam aktiviti pelacuran itu.
Mengikut pertuduhan, Lim Kevin, 38, didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi persundalan ke atas Junaidah pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.
Dia dituduh di bawah Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Manan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Norma Ismail kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan tidak boleh menganggu saksi selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan 23 Sept depan.
— BERNAMA