LONDON – Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan risiko dengan larangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menghalang pemain daripada beraksi dalam kelayakan Piala Dunia September ini.
Semasa panggilan persidangan tergempar membabitkan eksekutif kelab-kelab EPL semalam, tindakan sepakat diambil untuk menyekat pemain dari melawat ke negara senarai merah United Kingdom (UK) kerana ia bakal melibatkan mereka dalam kuarantin 10 hari selepas tugas antarabangsa dan berpotensi terlepas dua aksi EPL, perlawanan Europa dan pusiangan ketiga Piala Carabao.
Liverpool dan Manchester City sudah menyatakan pendiriannya akan menyekat pemain mereka Mohamed Salah dan pemain Brazil untuk menyertai pasukan kebangsaan mereka.
Pendirian mereka disokong oleh pasukan liga lain.
Pada masa sama, kelab-kelab berkenaan juga yakin mampu memaksa kerajaan UK untuk memberikan pengecualian supaya pemain mereka beraksi dalam perlawanan kelayakan piala dunia tanpa perlu kuarantin diri yang dilaksanakan untuk kejohanan Euro 2020 Julai lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Liverpool halang empat pemain beraksi perlawanan kelayakan Piala Dunia
FIFA pula terlibat dalam usaha mencari penyelesaian dengan mengadakan perbincangan bersama kelab EPL, pasukan kebangsaan dan juga kerajaan.
Sekiranya gagal membawa hasil, FIFA akan menggantung pemain berkenaan daripada beraksi untuk kelab mereka selama lima hari selepas tugas antarabangsa.
Kerajaan UK enggan melonggarkan peraturan kuarantin mereka selepas dikritik teruk melaksanakannya dalam separuh akhir dan final Euro di Wembley 14 Julai lalu.
Kebanyakan negara Eropah termasuk Perancis dan Sepanyol masih menguatkuasakan pengecualian perjalanan untuk sukan elit termasuk pemain EPL yang mewakili negara senarai merah yang paling terkesan dengan perkara itu.
EPL dalam dalam kenyataan menegaskan keputusan tidak membenarkan pemain beraksi dalam perlawanan antarabangsa di negara senarai merah digunapakai untuk hampir 60 pemain daripada 19 kelab yang akan ke 26 negara yang terdapat dalam senarai merah Covid-19.
Perbincangan mendalam telah diadakan bersama FA dan juga kerajaan UK dan selepas mengambil kira kesihatan awam, tiada sebarang pengecualian dibenarkan untuk mereka.
Kelab-kelab EPL juga percaya mereka mampu mencabar sebarang penggantungan yang menyusul dari FIFA kelak.- Dailymail.com.