KUALA LUMPUR – DAP menyifatkan pertemuan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam sebagai peristiwa bersejarah dalam politik Malaysia.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook yakin, pertemuan itu berpotensi mengubah landskap dan budaya politik di negara ini, sekiranya disusuli langkah yang lebih konkrit.
“Pertemuan semalam merupakan satu peristiwa yang bersejarah dalam politik Malaysia yang membawa reformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan serta memperkasakan institusi Parlimen.
“Pertemuan ini mempunyai harapan cerah untuk rakyat melihat perubahan landskap dan budaya politik negara, jika semangat pertemuan ini disusuli dengan langkah yang lebih konkrit,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Pertemuan selama satu setengah jam antara Ismail Sabri dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu di Putrajaya semalam, adalah untuk mencari jalan terbaik menangani pandemik Covid-19.
Menurut Anthony Loke, paradigma lama, yang mana kerajaan melihat pembangkang sebagai musuh politik semata-mata atau sebaliknya perlu dianjak dan diubah.
Ujar beliau, kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing dan perlu ada kerjasama walaupun pembangkang tetap akan berlawan antara satu sama lain dalam pilihan raya.
“Cabaran untuk kedua-dua pihak sekarang ialah bagaimana merealisasikan semangat yang dipersetujui dalam kenyataan bersama itu.
“Saya yakin sekiranya kedua-dua pihak mengambil satu langkah ke belakang, kami mempunyai ruang yang cukup besar untuk mencapai satu persefahaman yang akan memberi impak positif jangka panjang kepada negara.
“Setiap ahli politik mempunyai tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara kita.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim menyambut baik perjumpaan empat pemimpin berkenaan, yang dilihatnya sebagai keputusan tepat untuk PH bekerjasama dengan Perdana Menteru yang baharu.
Katanya, beliau melihat perubahan yang dituntut dan diharapkan oleh sedang berlaku dan dilakukan oleh Ismail Sabri selepas hampir seminggu menerajui pentadbiran kerajaan Persekutuan.
“Ini keputusan yang baik untuk PH dan kerajaan. Perubahan dilakukan langkah demi langkah,” katanya menerusi ciapan Twitternya. – MalaysiaGazette