Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al Mashoor terbiar di Medan Lim Cheng Teik menjadi sarang maksiat serta penagih dadah.

GEORGE TOWN – Selepas dibiarkan kosong sejak lima tahun lalu, bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al Mashoor di Medan Lim Cheng Teik di sini, kini menjadi sarang maksiat serta penagih dadah.

Malah, lokasi bangunan yang berhampiran dengan kawasan perumahan itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk memandangkan ada pergerakan individu yang dipercayai penagih dadah setiap hari.

Barang termasuk besi penghadang tangga dalam bangunan sekolah turut dicuri penagih dadah.

Jurucakap Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang, Andrew Teow Chin Siang berkata, pihaknya menerima lebih 30 aduan daripada penduduk setempat berhubung isu kehadiran orang luar ke kawasan tersebut bagi melepaskan gian dadah serta mengambil barang berharga dalam bangunan sekolah tersebut untuk dijual.

Jelas beliau, bangunan dipercayai milik kerajaan itu dibiarkan tanpa sebarang penjagaan selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al Mashoor yang baru siap dibina di Jalan Sultan Ahmad Shah kira-kira lima tahun lalu.

Andrew Teow Chin Siang.

“Rata-rata penduduk bimbang rumah mereka juga akan dipecah masuk memandangkan individu yang menceroboh bangunan tersebut pernah ditegur atas perbuatan mereka namun tidak dihiraukan.

“Penduduk juga mendakwa pelbagai aduan sudah dibuat berhubung isu tersebut kepada pihak berkaitan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut namun tiada sebarang maklum balas sehingga hari ini.

“Jadi, kita tampil hari ini dengan bantuan pihak polis dari Balai Polis Pulau Tikus bagi menunjukkan keadaan sebenar bangunan sekolah itu yang kini dipenuh serpihan kaca, kabel elektrik serta botol kimia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Andrew Teow Chin Siang (kiri) bersama Skyler Tan menunjukkan keadaan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al Mashoor.

Tinjauan bersama Parti Gerakan itu turut mendapati ada botol, tin minuman arak; kotak rokok serta sisa makanan yang dipercayai baru ditinggalkan.

Turut hadir jurucakap Parti Gerakan bagi kawasan Pulau Tikus, Skyler Tan.

Menurut Andrew, Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pendidikan Pulau Pinang harus memandang serius ini ekoran harta kerajaan sedang dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita harap isu ini ditangani dengan segera kerana jika dibiarkan mungkin bangunan ini akan dirosakkan lebih teruk selain penduduk turut terancam,” jelas beliau.

Hampir kesemua besi serta barang-barang berharga dalam bangunan itu hilang dipercayai dicuri penagih dadah.

Sementara itu, seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Aleem berkata, penagih yang sama akan datang ke bangunan tersebut setiap tengah hari dan malam.

“Siang mereka akan datang untuk melepaskan gian serta riki barang yang akan dicuri keluar. Pada sebelah malam baru mereka akan mengetuk, gergaji besi-besi dalam bangunan itu untuk dijual.

“Saya dan ayah kerap tegur kelakuan mereka namun tidak dipedulikan malah kami juga takut barang di gerai ini dilarikan mereka memandangkan keadaan sunyi sekarang akibat Pelan Pemulihan Negara.

“Bagi saya untuk selesaikan isu ini, perlu ada orang jaga bangunan tersebut agar tiada orang luar berani ceroboh lagi,” jelasnya yang menjalankan perniagaan makanan di bahagian belakang bangunan sekolah terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast