Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang kini menunggu maklum balas daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan isu pinjaman 200,000 dos vaksin dari negeri Selangor.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Ketua Setiausaha MOSTI bagi mendapatkan kelulusan berkaitan proses pinjaman vaksin tersebut.

“Seperti mana yang diumumkan Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin kelmarin, kita berhasrat meminjam 200,000 dos vaksin daripada Kerajaan Negeri Selangor namun ia masih tertakluk kepada kelulusan pihak MOSTI.

“Susulan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengutuskan surat kepada Ketua Setiausaha MOSTI semalam bagi mendapatkan maklum balas kelulusan proses peminjaman serta pemulangan membabitkan jumlah vaksin dinyatakan.

“Dalam pada itu, saya juga akan mengadakan perbincangan dalam talian bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada petang ini yang diharap bakal membuahkan hasil demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Amirudin atas sumbangan 20,000 dos vaksin untuk Pulau Pinang

“Diharapkan sumbangan itu dapat membantu merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini,” ujar Kon Yeow. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast