Maulawi Saifullah Mohammed. foto The Times

KABUL – Taliban mengesahkan sedang menyoal siasat dua warga Malaysia yang berjuang bersama IS-K, sebuah sayap kumpulan pengganas IS atau Daesh di Afghanistan yang menyasarkan Taliban dan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS), lapor The Times.

Media itu memetik kenyataan ketua perisikan Taliban, Maulawi Saifullah Mohammed yang mengatakan kedua-dua mereka ditahan bersama empat lagi anggota IS-K selepas pertempuran berbalas tembakan pada malam Khamis.

“Empat dari mereka adalah warga Afghanistan dan dua lagi seperti warga Malaysia,” kata Saifullah tanya memberikan butiran mengenai warga Malaysia yang ditahan.

Saifullah berkata, tahanan IS akhirnya “menyerah” sewaktu disoal siasat.

“Mereka tidaklah sekuat yang mereka sangka. Kami baru saja kalahkan tentera dari 36 negara NATO, jadi kami tahu kami boleh tangkap dan bunuh Daesh bila kami jumpa mereka,” katanya.

Kenyataan itu susulan pertempuran berterusan antara Taliban dan IS di Kabul selepas serangan bunuh diri anggota kumpulan itu di lapangan terbang Kabul hingga menyebabkan lebih 200 orang terbunuh termasuk lebih sepuluh anggota tentera Amerika Syarikat.

IS-K ditubuhkan oleh anggota Taliban yang tidak berpuas hati dengan matlamat penubuhan kumpulan yang pernah dikenali sebagai Khurasan yang ketika ini meliputi timur laut Iran, sebahagian Afghanistan dan beberapa wilayah di Asia Tengah.

Rakyat Malaysia telah menjadi antara ribuan warga asing yang menyertai IS ketika kemuncak perang di Iraq dan Syria.

Sejumlah 102 warga Malaysia dikenal pasti meninggalkan negara untuk menyertai IS dengan 40 orang daripada mereka meninggal dunia dalam pertempuran. – The Times