Potensi kawasan Felda bukan sahaja terhad kepada penanaman sawit tetapi potensinya

KUALA LUMPUR – Industri sawit negara tetap berdaya tahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Malah sektor pertanian terus menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara semasa pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, semasa pelaksanaan PKP pertama (PKP 1.0 dari 18 Mac – 28 April 2020), hanya sektor pertanian mencatat pertumbuhan positif 0.9 peratus tahun ke tahun untuk suku kedua 2020.

Katanya, aktiviti ekonomi di sektor pertanian dibenarkan beroperasi semasa PKP dan penggiat industri meneruskan aktiviti di ladang dan rantaian bekalan seperti biasa.

Namun, mereka harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), terutama pada had pekerja sehingga 60% sahaja, yang berkuat kuasa mulai 26 Mei 2021.

Ahmad Parveez berkata, harga purata minyak sawit mentah (MSM) meningkat 66.9 peratus atau RM1,628 kepada RM4,061.50 per tan untuk separuh pertama 2021 daripada RM2,433.50 per tan untuk tempoh yang sama pada tahun 2020.

Nilai eksport minyak sawit meningkat 36.3 peratus atau RM7.69 bilion kepada RM28.87 bilion untuk tempoh Januari – Jun 2021 daripada RM21.19 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Jumlah eksport minyak sawit bagi tempoh Januari – Jun 2021 adalah 7.07 juta tan, lebih rendah sebanyak 9.3% berbanding 7.80 juta tan pada tempoh yang sama tahun 2020 disebabkan oleh persaingan daripada minyak sayuran lain dan dasar import di negara pengimport.

Harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak kacang soya di pasaran dunia berada pada trend menaik dalam tempoh Januari – Jun 2021 berbanding dengan tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan oleh pembukaan semula sektor sosial dan ekonomi di kebanyakan negara serta kekurangan bekalan minyak sayuran di pasaran global yang menyokong harga.

Dalam tempoh Januari – Jun 2020, harga diperdagangkan lebih rendah selaras dengan kemelesetan ekonomi global akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, MPOB menjangka harga MSM akan lebih kukuh tahun ini dan harga purata mungkin di sekitar RM3,600 per tan, terutamanya disebabkan oleh jangkaan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh dan pertumbuhan pengeluaran minyak sawit yang lebih perlahan terutamanya di suku pertama tahun ini.

Pandemik Covid-19 mempunyai kesan sederhana terhadap permintaan eksport kerana minyak sawit adalah produk penting untuk penggunaan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.

Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada Januari – Jun 2021 merosot sebanyak 8.5% kepada 11.14 juta tan berbanding 12.17 juta tan pada Januari – Jun 2020.

Ahmad Parveez berkata, jumlah penjualan biji benih dan anak benih sawit meningkat 33.4% sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2021 kepada 27.73 juta biji benih dan anak benih sawit berbanding 20.79 juta biji benih dan anak benih untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Ini kerana aktiviti mengangkut biji benih dan anak benih adalah dibenarkan semasa PPN yang sedang dilaksanakan.

Semasa PKP 1.0, pengeluar benih dan pengusaha benih tidak dibenarkan beroperasi. Bagaimanapun, operasi mereka kemudian dibenarkan dengan SOP yang ketat.

Jumlah pengeluaran buah tandan segar (BTS) menurun sebanyak 7.2 peratus kepada 42.76 juta tan pada bulan Januari – Jun 2021 berbanding 46.09 juta tan pada tempoh yang sama tahun 2020 kerana masalah kekurangan tenaga kerja.

“Ladang-ladang kelapa sawit kini perlu mengutamakan penggunaan mekanisasi dan automasi secara agresif untuk mengatasi kekurangan tersebut,” katanya.

Kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan PEMERKASA untuk menggalakan penggunaan mesin dan Program Rakalibrasi Tenaga Kerja, yang bertujuan untuk membolehkan pendatang tanpa izin bekerja sebagai pekerja asing yang sah.

Langkah-langkah ini memastikan operasi ladang kelapa sawit berjalan lancar, terutamanya aktiviti penuaian yang dapat mempengaruhi produktiviti.

Pengeluaran MSM dan minyak isirung sawit mentah pada Januari – Jun 2021 masing-masing lebih rendah sebanyak 7.6 peratus dan 8.2 peratus berbanding Januari – Jun 2020 terutamanya disebabkan oleh BTS yang diterima oleh kilang adalah rendah.

Beliau berkata, walaupun operasi dibenarkan, kelewatan pemindahan teknologi disebabkan penutupan sempadan dan kelewatan pengangkutan seperti aliran masuk pakar, mesin dan peralatan luar negara telah merendahkan produktiviti.

Oleh itu, pengeluaran MSM negara dijangka menurun sedikit tahun ini disebabkan oleh penurunan pengeluaran BTS yang disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja akibat dari penutupan sempadan antarabangsa.

“Namun, dalam lima hingga sepuluh tahun akan datang, MPOB menjangka pengeluaran minyak sawit meningkat secara beransur-ansur dan stabil. Pengeluaran dijangka mencapai 22 juta tan pada tahun 2025 dan seterusnya akan meningkat kepada 25 juta tan pada tahun 2030.

”Trend kenaikan akan disokong dengan jangkaan peningkatan kawasan kelapa sawit yang lebih matang dan produktiviti kelapa sawit yang lebih tinggi melalui hasil BTS yang lebih baik dan kadar perahan minyak yang lebih tinggi

ta melangkah ke hadapan dan tidak melihat keluasan kawasan penanaman sawit sebagai penghalang utama bagi Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran minyak sawitnya. Melalui kemajuan teknologi terutama dalam pengeluaran bahan tanaman berhasil tinggi dan dengan penggunaan mekanisasi dan automasi di ladang, MPOB akan dapat membantu penggiat industri meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.

Di samping itu, Ahmad Parveez berkata, peningkatan kualiti bahan tanaman juga akan dapat meningkatkan hasil kelapa sawit dan seterusnya membantu Malaysia untuk memenuhi permintaan minyak sawit yang meningkat secara global sambil melestarikan tanah yang sedia ada.

Sementara itu, sektor oleokimia dan biodiesel berasaskan sawit tidak terjejas secara signifikan semasa pandemik COVID-19 kerana kedua-dua sektor tersebut dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ketat. Pada Januari – Jun 2021, kadar penggunaan kapasiti oleh sektor oleokimia berasaskan sawit dan biodiesel masing-masing lebih rendah sebanyak 5.8% dan 4.5% kepada 84.3% dan 44.2% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2020.

”Angka yang dicatat membuktikan bahawa syarikat perladangan mampu mengurus keadaan semasa dan mereka juga pernah melalui situasi serupa selama pelaksanaan siri-siri PKP sebelumnya.

Penggiat industri di aliran pertengahan dan hiliran tidak mempunyai banyak masalah untuk mematuhi SOP kerana sudah menjadi norma baharu bagi industri sejak PKP pertama pada bulan Mac 2020,” katanya.

MPOB menjangka kesan pandemik Covid-19 yang tidak ketara pada tahun 2021 kerana negara lebih bersedia untuk menguruskan kegiatan ekonomi di tengah pandemik tersebut.

Tambah beliau, pertumbuhan ekonomi diunjur akan meningkat, didorong oleh pemulihan permintaan global yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta dengan sokongan berterusan dari dasar-dasar yang sedang dilaksanakan. – MalaysiaGazette