Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menghadiri Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun PETROS yang ke-7, bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching semalam.

KUCHING – Petros, syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri Sarawak, memperuntukkan kira-kira RM40 bilion untuk perbelanjaan modal bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo.

Beliau berkata, syarikat itu mencatatkan hasil berjumlah RM4 bilion tahun lalu dan angka ini diunjurkan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Petros kini menyertai dalam 19 kontrak perkongsian pengeluaran secara kerjasama dengan pemain utama minyak dari beberapa negara dan ini juga dijangka turut berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-7 Petros, di sini, malam tadi.

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hamid berkata sejak dilancarkan pada 7 Ogos, 2017, Petros telah berkembang sebagai pemain bersepadu, aktif menyertai seluruh rantaian nilai minyak dan gas, menyelaras usaha untuk memperkasa pembangunan ekonomi sosial di Sarawak.

Beliau berkata di bawah pelan hala tuju gasnya, Petros sedang membangunkan empat hab strategik di Kuching, Miri, Bintulu dan Similaju, dengan potensi pelaburan sebanyak RM100 bilion bagi tempoh beberapa tahun akan datang, dan bersama-sama Petronas, menjadi pengedar tunggal gas petroleum cecair di Sarawak.

“Kami juga membelanjakan sebanyak RM4.7 juta pada 2023 untuk inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat kami dan jumlah yang hampir sama pada 2024, sebahagian besarnya untuk pendidikan dan kesihatan,” katanya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here