Annuar Muda dan Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bergabung  meneruskan usaha memberi manfaat kepada 15,000 warga kota dengan memperkenalkan tiga inisiatif tambahan menerusi Rumah Prihatin@Grand Season.

Pengasas Rumah Prihatin, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif pertama adalah mesin pengeluaran automatik (ATM) Beras yang akan diperkenalkan kepada warga kota yang memerlukan bantuan asas.

“Kita akan melaksanakan projek percubaan dengan mewujudkan satu mesin ATM Beras di foyer hotel Rumah Prihatin ini yang mana mereka yang tidak berpendapatan dan memerlukan beras percuma boleh tampil dan mengeluarkan beras dari satu hingga lima kilogram dengan membawa bekas sendiri.

“Mesin ATM Beras ini akan beroperasi lima hari seminggu waktu bekerja seminggu kecuali Sabtu dan Ahad yang mana pihak yayasan dan NGO yang menghulurkan bantuan ini akan memasukkan beras dalam mesin yang disediakan itu untuk diberikan secara percuma.

“Kita akan memperincikan kaedah pengagihan beras itu dengan dimasukkan data peribadi 15,000 keluarga misikin bandar dalam sistem ATM Beras itu yang mana kamera yang dipasang dalam mesin itu akan merakam wajah serta dipadankan dengan kad pengenalan yang diletakkan di mesin itu sebelum dibenarkan mengeluarkan beras mengikut had kilogram yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media Malam Kasih Merdeka di Rumah Prihatin@Grand Season malam tadi.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan , Datuk Seri Shahidan Kassim.

Tambah Annuar lagi, Mesin ATM Beras akan dilancarkan bersama dua lagi inisiatif iaitu Toy Bank dengan penempatan pesakit kanser di Rumah Prihatin yang akan diperkenalkan serentak sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Justeru, katanya, pemberian ATM Beras hanya untuk warga tempatan sahaja yang mana kemudahan terkini ini akan mengelak mereka daripada bersusah payah beratur berjam-jam untuk mengisi borang serta mendapatkan bantuan secara manual.

Mengulas mengenai pesakit kanser, katanya, inisiatif itu dilaksanakan selepas mendapat syor Hospital Kuala Lumpur (HKL) memandangkan ruang katil terhad untuk pesakit kanser disebabkan wad terbabit diguanakan untuk rawatan pesakit Covid-19.

Katanya, HKL membuat permohonan kepada Rumah Prihatin supaya hotel berkenaan dijadikan rumah pesakit kanser yang menjalani rawatan pemulihan.

“Atas pengesyoran itu, kita setuju untuk menjadikan Rumah Prihatin ini sebagai rumah penempatan pesakit kanser yang menjalani rawatan di HKL.

“Mereka akan diberi ruang penginapan di sini untuk menjalani rawatan di HKL tanpa bersusah payah datang daripada rumah yang mana mereka akan tinggal di sini untuk satu tempoh tertentu dan akan bekerjasama dengan para doktor supaya mereka diberi perhatian dan rawatan lebih fokus dan khusus termasuk kimoterapi,” ujarnya.

Menurut beliau sebagai permulaan sebanyak 10 bilik dengan 20 katil akan disediakan untuk penempatan pesakit kanser HKL.

“Dulu, HKL ada tempat khusus disediakan untuk rawatan pesakit kanser, kini ia digunakan untuk pesakit Covid-19 dan ruang HKL tak dapat menampung pesakit kanser dan kemudahan untuk mereka,” ujarnya Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Shahidan dalam pada itu turut memaklumkan segala inisiatif yang digerakkan selama ini di bawah Rumah Prihatin oleh Annuar akan diteruskan demi manfaat warga kota.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast