GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan bekalan vaksin mencukupi supaya suntikan penuh kepada populasi dewasa mengikut sasaran ditetapkan.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, bekalan vaksinasi mencukupi penting dalam usaha kerajaan negeri memastikan kes-kes serius jangkitan Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dapat dikurangkan.
Jelas beliau, perkara tersebut perlu menjadi tanggungjawab Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin agar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) capai sasaran yang ditetapkan.
Kon Yeow berkata, sekiranya kes serius dapat dikurangkan ia sekali gus mampu mengurangkan tekanan kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan awam dalam merawat pesakit Covid-19 yang sejak kebelakangan ini meningkat di Pulau Pinang.
“Pemberian imunisasi (vaksin) ini adalah strategi utama untuk keluar daripada peningkatan kes positif dan serius di negeri ini.
“Oleh itu, kita menggesa KKM untuk pastikan bekalan vaksin dapat disegerakan dan tidak lagi berdepan dengan gangguan,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera mengagihkan sumber tenaga dan meningkatkan sistem perubatan di Pulau Pinang berikutan peningkatan kes mendadak.
Katanya, KKM wajar mempertimbang menghantar pakar-pakar perubatan dari negeri yang kurang berdepan kes Covid-19 untuk membantu tugas perubatan di negeri-negeri yang merekodkan kes tinggi.
“Kita mungkin tidak berhadapan masalah mendapatkan kelengkapan perubatan seperti katil unit rawatan rapi (ICU) kerana banyak pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat bersedia memberi sumbangan.
“Tetapi kita mungkin berdepan kekangan dari segi tenaga pakar yang dapat mengendali dan menguruskan rawatan bagi kes-kes serius Covid-19 ini dan keperluan ini bukan hanya untuk Pulau Pinang tetapi juga negeri-negeri utara lain yang berdepan peningkatan kes mendadak,” ujar Kon Yeow. – MalaysiaGazette