Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap agar semua wakil rakyat di negeri ini mengetepikan perbezaan politik dan memberi fokus dalam membantu rakyat keluar daripada krisis pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-14 di sini, hari ini.

Jelas beliau, semua pihak harus berganding bahu bagi memastikan aktiviti kehidupan rakyat dan ekonomi negeri ini pulih seperti sedia kala.

Selain itu, beliau turut berharap projek untuk kemudahan rakyat yang dirancang Kerajaan Persekutuan serta negeri dapat disiapkan mengikut jadual.

“Perkara ini penting bagi penyampaian perkhidmatan kerajaan terhadap rakyat di samping memacu ekonomi negara secara dalaman.

“Justeru, saya berharap supaya Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri tidak mengira parti, kerajaan atau pembangkang dapat memberi fokus dan iltizam untuk membantu rakyat meneruskan kehidupan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fuzi menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pembekalan vaksin untuk rakyat Pulau Pinang, sekali gus merekodkan lebih 1.1 juta penduduk telah menerima suntikan dos pertama sehingga 26 Ogos lalu.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan pembekalan vaksin yang mencukupi adalah penting untuk memastikan kejayaan program vaksinasi di negeri ini.

“Dalam masa sama, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan Kerajaan Negeri yang bekerja keras demi mengekang penularan Covid-19 di sini,” kata Ahmad Fuzi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast