Seorang Pengarah Urusan, Adly Kamarudin, 47 didakwa atas 69 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu surat setuju terima melibatkan perolehan kerajaan ketika di Mahkamah Sesyen, Shah Alam. MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Seorang pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 69 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan perolehan kerajaan bagi tujuan penipuan kepada sebuah agensi kerajaan, sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Adly Kamaludin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua pertuduhan, Adly yang memegang jawatan pengarah beberapa syarikat didakwa melakukan persubahatan di Lot 12, Jalan 2/1 G, Mutiara Bangi, Bandar Baru Bangi dengan mengarahkan seorang individu memalsukan suatu dokumen iaitu surat setuju terima tender dan Borang Caruman A, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dengan maksud bagi tujuan untuk menipu Jabatan Kerja Raya Malaysia, antara September 2019 hingga September 2020.

Antara agensi kerajaan yang terlibat ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Seremban; Lembaga Getah Malaysia, Jelebu; Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Kementerian Pendidikan Malaysia, Sungai Petani, Kedah; FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah; RISDA Miri, Sarawak; FELDA Chini, Pekan Pahang; Jabatan Landskap Negara; Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Lembaga Kemajuan Johor Tenggara

Turut terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kolej Universiti Automotif Antarabangsa (IUCAM), Pekan, Pahang.

Kesemua 69 pertuduhan itu didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan sebanyak RM500,000 bagi kesemua 69 pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan.

Menurut Ahmad Akram, tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM yang terdekat dengan kediamannya dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan.

Adly yang diwakili peguambela, Md Yunos Shariff kemudiannya tidak membantah dengan jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya, namun memohon mahkamah mengetepikan arahan penyerahan pasport.

Peguam Md Yunos memberi alasan anak guamnya seorang ahli perniagaan pelancongan di Jakarta, Indonesia dan perlu ke luar negara untuk melakukan urusan perniagaan apabila sektor ekonomi kembali beroperasi sepenuhnya.

“Anak guam saya juga tidak akan melarikan diri bahkan sejak penahanan reman oleh SPRM pada 4 April hingga 16 April Ogos lalu serta notis pertuduhan SPRM yang diserah 28 Ogos lalu untuk tujuan pendakwaan hari ini, beliau memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat,” katanya.

Hakim Rozilah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 bagi kesemua 69 pertuduhan, pasport tidak perlu diserahkan.

Sebaliknya Rozilah mengarahkan peguam perlu memaklumkan secara bertulis tujuh hari sebelum Adly hendak ke luar negara kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur, setiap awal bulan.

Mahkamah Sesyen turut menetapkan 3 November ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette