Kredit Instagram Muhammad Ziyad Zolkefli

KUALA LUMPUR – Jaguh olahraga Muhammad Ziyad Zolkefli memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia berikutan kontroversi pembatalan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Paralimpik Tokyo.

Dalam hantaran di laman Instagram, atlet yang menyertai acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Ia berikutan pendirian Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) menolak rayuan kontinjen Malaysia terhadap keputusan membatalkan kemenangan Ziyad yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir berlangsung di Stadium Olimpik. , Tokyo.

Dalam acara semalam Ziyad berjaya mempertahan emas dimenanginya di Rio 2016 selain memecah rekod dunia 17.29m yang dilakukan atlet itu di Kejohanan Olahraga Para Dunia London pada 2017.

Beliau membuat lontaran pada percubaan ketiga 17.94m sebelum jawatankuasa teknikal membuat keputusan kontroversi membatalkannya.

Bernama melaporkan kemenangan itu dibatalkan selepas protes oleh kem Ukraine yang mendakwa Ziyad tidak berada di bilik menunggu yang membolehkan atlet terbabit berjaya meraih emas bagi acara itu.

Bukan sahaja Ziyad malah dua lagi atlet iaitu Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador dan Todd Hodgets dari Australia turut diberikan status sama.

Ecuador dan Australia yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu turut bersama dengan Megat D Shahriman dalam mengemukakan protes kepada jawatankuasa teknikal.

Atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecah rekod dunia milik Muhammad Ziyad. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast