Chester Voo Chee Soon

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menarik balik penggantungan operasi pesawat Boeing 737 MAX di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo hari ini.

Beliau berkata CAAM telah meluluskan operasi Boeing 737-8 dan Boeing 737-9 atau secara komersial dikenali sebagai Boeing 737 MAX di Malaysia berikutan penggantungannya pada Mac 2019 dan kelulusannya selaras dengan Arahan Keselamatan CAAM 01/2021 – Operasi Boeing 737-8/-9 (MAX) bertarikh 2 Sept 2021.

“Arahan Keselamatan 01/2021 membatalkan Arahan Keselamatan sebelum ini yang dikeluarkan pada 13 Mac 2019 melarang operasi B737 MAX 8 di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CAAM pada Mac 2019 mengumumkan menggantung operasi Boeing 737 MAX keluar atau masuk dan juga transit ke Malaysia sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Malaysia menyertai negara seperti Singapura, China, Indonesia dan Australia menggantung operasi Boeing 737 MAX susulan tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines 737 MAX yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi, mengorbankan kesemua 157 penumpang dan kru pada 10 Mac 2019.

Voo berkata arahan baharu itu turut terpakai kepada operator udara Malaysia dan asing yang berhasrat melakukan penerbangan komersial dengan pesawat Boeing 737 MAX di dalam atau luar ruang udara Malaysia.

“Semua operator harus mematuhi syarat yang dinyatakan dalamArahan Keselamatan CAAM 01/2021 sebelum penerbangan komersial pertama dilakukan oleh pesawat Boeing 737 MAX ke dalam atau luar ruang udara Malaysia,” katanya.

Voo berkata CAAM memantau dengan teliti proses kelulusan dan kerja-kerja menyeluruh yang dijalankan semua pihak terlibat terutamanya oleh syarikat Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

“CAAM mengiktiraf FAA sebagai State of Design yang memperakui ciri-ciri reka bentuknya dan menerima syarat-syarat kembali berkhidmat yang ditetapkan oleh FAA untuk pesawat Boeing 737 MAX,” katanya.

Voo memberi jaminan semua pesawat yang beroperasi di Malaysia mematuhi semua keperluan pengawalseliaan, teknikal dan ujian.

“CAAM aan terus memantau keadaan dan memastikan pematuhan ketat terhadap peraturan dan arahan. Sebarang pelanggaran akan ditangani dengan serius,” katanya. – BERNAMA