Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Jika pun kerajaan bersetuju Lembah Klang beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bukan bermakna lokaliti itu telah bebas daripada ancaman Covid-19.

Malah, perlu difahami ancaman Covid-19 masih wujud dan individu yang telah divaksin satu dos mahupun lengkap dua dos di Lembah Klang tetap berisiko dijangkiti.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Lembah Klang juga masih ada yang belum divaksin termasuk golongan berusia 17 tahun ke bawah.

Kata beliau, keselamatan mereka perlu diberi perhatian oleh semua terutama ibu bapa.

“Peralihan Fasa PPN di Lembah Klang menjadi tumpuan kerana inilah kawasan paling tinggi mencatatkan kes jangkitan Covid-19 selama ini.

“Pada 31 Ogos lalu, sebanyak 5,399 lagi kes jangkitan harian Covid-19 dilaporkan di Lembah Klang dengan jumlah kematian seramai 161 orang.

“Justeru, kita berharap penduduk Lembah Klang tetap mengamalkan SOP yang ketat setiap masa walaupun telah beralih Fasa PPN,” katanya menerusi hantara Facebooknya.

Beliau berkata demikian mengulas pandangan Perdana Menteri pada Isnin, yang berpendapat Lembah Klang kini boleh beralih ke Fasa 2 PPN susulan kadar vaksinasi yang telah melebihi 80 peratus.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlara itu akan diputuskan dalam perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan Kabinet yang dipengerusinya.

Menurut Ahmad Zahid, mengurangkan pergerakan masih wajar diteruskan dengan melibatkan perkara perlu sahaja kerana Fasa 2 bermakna lebih kelonggaran diberikan.

“Nasihat ini turut terpakai kepada kawasan lain yang telah beralih kepada fasa berikutnya. Slogan ‘Kita Jaga Kita’ jangan sesekali dilupakan. – MalaysiaGazette