KUALA LUMPUR – Kematian di rumah yang disebabkan Covid-19 adalah membimbangkan dan ia menunjukkan ramai pesakit tidak tahu menilai keadaan sendiri.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, strategi justeru perlu ditukar untuk mencapai sasaran sifar kematian di rumah.
Beliau berkata, walaupun kes harian tetap akan dilaporkan pada masa depan, tetapi reaksi terhadapnya perlu diubah dengan memfokus kepada pesakit tahap ketiga hingga kelima serta mengurangkan kes kematian.
Katanya, orang ramai perlu menerima hakikat bahawa pandemik yang berlaku akan bertukar kepada penyakit setempat.
“Ini adalah untuk memastikan kehidupan orang ramai dan ekonomi negara dapat dipulihkan,” katanya kepada Oriental Daily.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, liputan vaksinasi yang dilaporkan berdasarkan perangkaan tahun lalu mungkin lebih rendah daripada keadaan sebenar.
Katanya, walaupun 60 peratus populasi dewasa dilaporkan sudah menerima vaksinasi lengkap, tetapi ia merangkumi populasi warganegara dan bukan warganegara.
Jelasnya, memandangkan perhitungan adalah berdasarkan populasi yang dianggarkan dalam banci tahun lalu, maka peratusan vaksinasi mungkin lebih rendah.
Menurutnya, sesetengah orang turut dijangkiti selepas menerima vaksin kerana antibodi mereka belum aktif atau belum cukup.
“Untuk antibodi mencapai tahap optimum, ia memerlukan dua minggu,” katanya. – MalaysiaGazette